Siswazah miliki dua ijazah dan mahir tiga bahasa luah rasa kecewa selepas gagal dalam temuduga bagi jawatan bergaji minimum.
Lohanny Santos,26, dari Brooklyn memuat naik videonya di TikTok dalam keadaan menangis sambil memegang beberapa set resume.
Menurut Santos, dia berusaha mencari pekerjaan dengan berjumpa sendiri beberapa bakal majikan namun setakat ini usahanya belum membuahkan hasil.
“Sejujurnya, ia agak memalukan kerana saya memohon pekerjaan bergaji minimum namun ada antara mereka yang “kami tidak mengambil pekerja” […] Bukan ini yang saya jangkakan,” kata Santos.
Santos merupakan siswazah kelahiran Universiti Pace yang memiliki dua ijazah menerusi bidang komunikasi dan lakonan. Dia juga mahir tiga bahasa.
Namun kelebihan itu seolah tidak bermakna apabila Santos gagal mendapatkan tempat biarpun bagi pekerjaan bergaji minimum iaitu $16 sejam di New York.
“Ini menyedihkan,” kata Santos sambil menyapu air matanya.
Santos turut meluahkan impiannya untuk menjadi pempengaruh TikTok. Namun sedar bahawa dia perlukan pekerjaan sebenar demi sesuap nasi.
“Saya akan terus berusaha,” kata Santos.
Santos berkata, dia pergi ke beberapa buah kedai kopi sambil menghulurkan resumenya sama seperti yang pernah dilakukannya ketika mencari pekerjaan pada usia 16 tahun.
Dalam pencarian itu, Santos diterima bekerja di sebuah kedai kopi. Namun pekerjaan itu memerlukannya menjalani latihan tanpa bayaran selama 18 jam.
Data daripada Jabatan Buruh Negeri New York menunjukkan kadar pengangguran di New York sedang meningkat susulan Covid-19.
Data pada Disember 2023 menunjukkan kadar pengangguran di seluruh negeri New York ialah 4.5 peratus.
Ini bermaksud, bukan Santos sahaja yang menghadapi masalah dalam mencari pekerjaan di New York ketika ini.
Video Santos meraih 3.3 juta suka di TikTok. Menerusi ruang komen, ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada Santos.
“Jangan pernah berasa malu. Anda sepatutnya berbangga kerana berjaya mengetepikan ego dan jadi realistik,” kata salah seorang pengikutnya.
“Inilah cara yang tepat untuk mencari pekerjaan sebelum mencarinya di internet. Tiada apa yang perlu dimalukan kerana ia memberikan anda pengalaman yang mahal,” kata pengikut lain.
Namun terdapat juga segelintir warga siber yang tidak bersimpati dengan keadaan Santos.
“Mungkin jika anda tidak belajar komunikasi dan lakonan, anda tidak akan melalui pengalaman ini,” kata seseorang.
Ada juga warga siber yang mendakwa apa yang dilakukan Santos ini hanyalah semata-mata content untuk media sosialnya.
Ada juga warga siber yang berpendapat bahawa pada masa kini, majikan tidak hanya melihat pada pencapaian akademik namun mencari pekerja yang berpengalaman.
Santos mempertahankan dirinya ketika berhadapan dengan komen-komen yang tidak membangun.
Dengan penuh rendah diri Santos berkata, “Sejak berusia 16 tahun saya bekerja dengan gaji minimum. Saya tidak memilih sebarang pekerjaan atau peluang. Saya hanya manusia biasa yang fikir dengan pergi ke kolej dan mendapat ijazah akan menjamin masa depan yang cerah.”
Mahir berbahasa Inggeris sebagai bahasa kedua selepas bahasa Portugis menjadikan Santos orang pertama daripada kalangan keluarga yang berjaya ke menara gading.
Ujar Santos, dia tidak kesal belajar dalam bidang komunikasi dan lakonan kerana itu adalah minatnya.
“Kita hanya hidup sekali dan kita boleh terus mengejar impian kita dan lakukan apa sahaja untuk mencapai impian tersebut.
“Sebahagian diri saya seolah, Saya akan teruskan dan capai impian saya. Saya hanya perlu lakukannya,” tambah Santos.
Pempengaruh yang mempunyai sejumlah 180,000 pengikut daripada TikTok dan Instagram itu sering berkongsi tentang kehidupannya di Bandar New York.
Impian Santos untuk menjadi seorang pempengaruh TikTok hanya selangkah lagi apabila dia dijemput menghadiri majlis Sally Hansen, BLKDNM dan Forbes.
Santos turut menepis anggapan buruk segelintir pengikut terhadap dirinya berkaitan isu gagal temuduga tersebut.
Kata Santos, “Inilah kehidupan sebenar saya. Saya tidak bergurau di sini. Saya sebenarnya mencari kerja.”
Usaha keras siswazah miliki dua ijazah ini akhirnya membuahkan hasil apabila dia dipelawa untuk bekerjasama dengan sebuah syarikat pil pencegah kehamilan.
“Saya baru menandatangani perjanjian pertama dengan Julie. Anda tidak tahu betapa bermaknanya ia pada saya,” kata Santos.