Masalah kewangan yang dihadapi oleh The Body Shop bakal merisikokan 2,000 pekerjaan dan 200 buah cawangan di United Kingdom.

Empat cawangan di London turut terkesan dengan sewa dan belanja lain yang tinggi. Sementara kedai-kedai dan laman web yang tidak terjejas akan beroperasi seperti biasa semasa proses penyusunan semula berlangsung.
Difahamkan, cawangan global The Body Shop seperti di Timur Tengah, Asia, Afrika dan seluruh Eropah tidak terjejas dengan penutupan ini.
Antara cawangan yang bakal ditutup adalah:
- Ashford Town Centre, Kent.
- Bristol Queens Road, Bristol.
- Canary Wharf, London.
- Cheapside, London.
- Nuneaton, Warwickshire.
- Surrey Quays, London.
- Oxford Street-Bond Street, London.
The Body Shop ditubuhkan pada 1976 oleh aktivis hak haiwan, Anita Roddick, dengan sebuah kedai kecil di Brighton, di pantai selatan England. Kedai kecil itu menjadi popular kerana menjual produk kosmetik dan kebersihan yang tidak diuji ke atas haiwan.
Namun, sejak diambil alih oleh firma ekuiti swasta Aurelius pada November 2023, The Body Shop mengalami masalah kewangan kerana dikatakan gagal membayar sejumlah bekas pekerja.
Aurelius membeli The Body Shop pada harga £207 juta tahun lepas daripada syarikat kecantikan terbesar Brazil, Natura.
Menurut Aurelius, prestasi rangkaian ini sepanjang musim perayaan lebih teruk daripada anggaran terburuk mereka, menyebabkan mereka mendapatkan khidmat penasihat.
Menurut penasihat FRP Advisory (yang dilantik oleh Aurelius), tindakan itu terpaksa diambil bagi menyelamatkan masa depan syarikat kosmetik dan penjagaan kulit yang terkenal dengan produk-produk semula jadi tersebut.
“Penurunan bilangan kedai bererti tumpuan semula ke atas produk, saluran penjualan dalam talian dan strategi borong jenama,” kata FRP.

Dalam pada itu, dikatakan jumlah pekerja di pejabat pusat di London akan dikurangkan kira-kira 40 peratus.
Program Duta The Body Shop yang membenarkan wakil untuk menjual produk syarikat secara terus kepada pelanggan, juga akan ditutup, kata FRP.
Syarikat kosmetik itu juga mengumumkan bahawa rangkaian jualan langsung asal, The Body Shop at Home yang telah beroperasi selama 30 tahun juga akan ditutup.
McKinsey & Co.BLOOMBERG mengatakan The Body Shop menghadapi saingan yang semakin meningkat daripada pesaing yang lebih baik dengan menumpukan pada pengguna muda secara dalam talian.