Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menerusi hantaran di X mengatakan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak ketiga hanya sebagai satu galakkan kepada golongan rentan iaitu warga emas.
Ini susulan pengambilan dos penggalak ketiga yang disarankan oleh KKM baru-baru ini telah disalah faham oleh sebilangan orang awam.

Katanya lagi, saranan itu bukanlah satu arahan wajib kepada semua golongan untuk mengambilnya.
Namun Dr Dzulkefly tetap menggalakkan masyarakat menggunakan pelitup muka, mengelakkan 3C dan lain-lain memandangkan kenaikan kes COVID-19 mutakhir ini.
Jelas Dr Dzulkefly, bekalan vaksin masih mencukupi dan belum mencapai tarikh luput.
Vaksin tersebut dikatakan berkesan melindungi orang ramai daripada jangkitan mutasi dan strain baharu COVID-19.
“Dos penggalak perlu untuk melindungi kumpulan rentan termasuk warga emas dan golongan komorbid yang mudah terdedah kepada risiko dan kesan memudaratkan.
“Kita (KKM) sedar ada sedikit peningkatan kes COVID-19 dan mutakhir adalah dalam lebih 12,000,” kata Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly juga telah memaklumkan Perdana Menteri dan ahli Kabinet akan situasi ini dan wajar untuk diberikan perhatian.
Kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk pesakit yang disyaki ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Manakala pengisian katil di unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus.
Pergerakan orang merentas negeri menjelang cuti akhir tahun tanpa memakai pelitup muka dan keadaan cuaca menyumbang kepada peningkatan kes COVID-19 menurut Dr Dzulkefly.
“Adalah wajar diberi perhatian dan dalam keadaan sesak sebaiknya gunakan pelitup muka dan juga bagi individu bergejala.
“Semua ini kriteria yang jelas andai keperluan itu timbul, kita dengan segera akan mengambil langkah intervensi dan mitigasi yang lebih sesuai.
“Kita tidak mahu terlalu cemas, tapi kita juga tidak ambil mudah,” kata Dr Dzulkefly.