Ribuan tan ikan terdampar di pantai utara Jepun atas sebab yang tidak diketahui, kata pegawai tempatan pada 8 Dec lalu.
Ikan sardin dan beberapa ikan tenggiri yang terdampar itu dilihat seperti gulungan selimut berwarna kelabu di sepanjang pantai berkenaan kira-kira satu kilometer.
Menurut penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat kejadian seumpama itu. Ada yang mengumpulkan ikan tersebut untuk dijual atau dimakan.
Namun pihak berkuasa tempatan dengan pantas mengeluarkan kenyataan larangan penduduknya memakan ikan tersebut.
Takashi Fujioka, seorang penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Hakodate berkata dia pernah mendengar fenomena yang sama sebelum ini.
Namun, inilah kali pertama Takashi melihatnya sendiri.
Menurut Takashi, berkemungkinan ikan-ikan tersebut dikejar ikan yang lebih besar, kemudian kepenatan akibat kekurangan oksigen dan akhirnya terdampar di pantai.
Ikan-ikan tersebut juga dikatakan berkemungkinan melalui air sejuk secara tiba-tiba semasa penghijrahan.
Tambah Takashi lagi, bangkai ikan yang mereput juga boleh menyebabkan paras oksigen dalam air menurun dan menjejaskan persekitaran marin.
“Kita tidak tahu apakah sebabnya ikan-ikan ini terdampar, namun saya tidak mengesyorkan sesiapa memakannya,” kata Takashi.
Terdapat beberapa kes yang serupa dengan fenomena ini direkodkan berlaku di beberapa bahagian pantai Jepun.
Namun begitu, fenomena kali ini berlaku hanya tiga bulan selepas pihak berkuasa Jepun mula melepaskan air radioaktif yang dirawat kembali ke laut.
Tindakan Jepun ini telah mencetus kemarahan negara jiran mereka termasuk Korea Selatan dan China.
China sejak itu mengharamkan makanan laut Jepun dan turut mengkritik negara itu sebagai ‘sangat mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab’.
Penunjuk perasaan Korea Selatan juga cuba memasuki kedutaan Jepun di Seoul dengan membawa sepanduk bertulis, ‘Laut bukan tong sampah Jepun’.
Pada Mac 2011, loji jana kuasa Fukushima telah musnah selepas tragedi gempa bumi dan tsunami.
Kesannya, sistem penyejukan loji musnah dan menyebabkan tiga reaktor cair.
Kini, terowong bawah laut sedang digunakan untuk mengeluarkan air radioaktif yang dirawat oleh Advanced Liquid Processing System.
Sistem tersebut menggunakan proses yang dipanggil pencairan isotop untuk menjadikan air kurang berbahaya.
Proses ini melihat tritium (isotop radioaktif kurang berbahaya) ditambah kepada air tercemar yang kemudiannya dicampur dengan ‘air laut bersih’, mencairkan kepekatan bahan yang lebih berbahaya.
Pegawai Jepun meyakinkan bahawa air yang dirawat itu adalah selamat.
Walau bagaimanapun, kenyataan itu disangkal pengkritik kerana kurangnya data jangka panjang.
Menurut pengkritik, adalah mustahil untuk mengatakan bahawa tritium tidak menimbulkan ancaman kepada kesihatan manusia dan persekitaran marin.
Greenpeace berkata, risiko radiologi belum dinilai sepenuhnya dan kesan biologi tritium ‘telah diabaikan’.