26.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024
UtamaBerita UtamaPenyakit Kolera dibimbangi menular di Gaza

Penyakit Kolera dibimbangi menular di Gaza

Dalam keadaan krisis air yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin, penyakit Kolera dibimbangi menular di Gaza.

Al Jazeera

Di sebuah sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Khan Younis, Osama Saqr, 33, cuba mengisi air di dalam botol untuk diberikan kepada anaknya yang dahaga.

Saqr minum sedikit air dan berasa loya kerana kemasinan air tersebut sebelum dia menghela nafas panjang.

“Air ini tercemar dan tidak sesuai diminum, tetapi anak saya selalu meminumnya, tiada pilihan lain,” katanya kepada Al Jazeera.

Anak lelaki Saqr yang berusia setahun mengalami cirit-birit namun Saqr tidak dapat mencari ubat-ubatan di hospital atau farmasi untuk merawat anaknya itu.

“Walaupun saya mendapat ubat, masalah tetap ada, air tercemar dan masin, tidak sesuai untuk diminum,” katanya.

Saqr bimbang anaknya akan terkorban disebabkan keracunan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah merekodkan lebih 44,000 kes cirit-birit dan 70,000 jangkitan pernafasan akut, namun jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi daripada itu.

Pada Jumaat, agensi PBB mengatakan bahawa hujan yang berterusan mungkin akan menjadikan keadaan semasa bertambah buruk.

Menurut Pengarah kecemasan serantau bagi rantau Mediterranean Timur di WHO Richard Brennan, disebabkan terlalu ramai orang di pusat UNRWA, mereka terpaksa membuang air besar secara terbuka.

Kata Brennan lagi, penularan penyakit termasuk Kolera, jangkitan pernafasan dan jangkitan kulit termasuk kudis boleh berlaku akibat kesesakan, kekurangan pengurusan sisa pepejal, kelemahan sanitasi dan pembuangan air terbuka.

Agensi PBB telah memberi amaran bahawa kemusnahan perkhidmatan air dan sanitasi boleh menyebabkan penyakit Kolera tersebar lebih pantas.

Keadaan ini akan bertambah parah sekiranya bantuan kemanusiaan tidak segera diberikan kepada mereka yang terjejas.

Jika tiada apa yang berubah, bilangan orang yang sakit akan bertambah dan wabak besar akan meningkat secara mendadak.

Tidak diketahui sama ada infrastruktur air dan sanitasi penting Gaza musnah akibat dibedil bom Israel atau disebabkan kehabisan bahan api.

Menurut UNRWA, kesemua 76 telaga air di Khan Younis dan Rafah sudah tidak berfungsi.

Ini termasuklah dua buah loji air minuman dan 15 stesen pam kumbahan.

WHO menganggarkan bahawa rata-rata orang di Gaza menggunakan tiga liter air setiap hari untuk minum dan sanitasi.

Jumlah tersebut adalah dibawah paras minimum 7.5 liter yang disarankan oleh agensi dalam situasi kecemasan.

Disebabkan oleh pemberhentian perkhidmatan utama termasuk loji penyahgaraman air, rawatan kumbahan dan hospital, jumlah penyakit Kolera dalam kalangan mereka yang berlindung di pusat UNRWA meningkat sebanyak 40 peratus.

Dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza yang mana separuh daripada itu adalah kanak-kanak tidak lagi mendapat bekalan air bersih.

Pada Rabu, pihak berkuasa Israel membenarkan lebih kurang 23,000 liter bahan api dibawa masuk ke Semenanjung melalui Mesir.

Namun mereka mengehadkan penggunaan bahan api ini kepada trak yang menghantar bantuan masuk ke Gaza.

Berdasarkan kenyataan UNRWA, 160,000 liter bahan api diperlukan sehari untuk operasi asas kemanusian.

Bahan api yang ada tidak dapat menampung keperluan kemanusiaan secara menyeluruh termasuklah untuk kemudahan perubatan dan air atau kerja UNRWA.

“Situasi ini benar-benar melumpuhkan kerja-kerja mereka dan penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza,” kata Pesuruhjaya Jeneral Philippe Lazzarini.

Kementerian Kesihatan Gaza menegaskan bahawa kekurangan air bersih yang disebabkan oleh kekurangan bahan api merisikokan 1,100 pesakit kegagalan buah pinggang termasuk 38 orang kanak-kanak.

Muhammad, 22, abang kepada Abdeen, menderita kolik buah pingang akut disebabkan kekurangan air bersih.

“Sewaktu dia berasa amat sakit, dia menjerit,” kata Abdeen, 40, ketika dia mencari air minuman di jalan Khan Younis.

Abdeen berkata bahawa dia tidak mahu berputus asa biarpun pada masa ini, air minuman sangat mahal dan sukar untuk dicari.

“Saya tidak mahu kehilangan dia dalam peperangan tidak adil ini,” katanya.

Samir Asaad, 60, dari kem Deir el-Balah, menderita tekanan darah tinggi yang mana keadaannya semakin memburuk kerana meminum air masin.

“Saya memasak air untuk minum jadi saya tidak merasa kemasinannya,” katanya.

“Mereka membunuh kami dengan membiarkan kami kehausan atau memaksa kami minum apa-apa sahaja air supaya kami mati,” kata Samir.

Pegawai kemanusiaan meminta agar lebih banyak bantuan dibawa masuk ke Gaza.

Program Makanan Sedunia menegaskan pada Khamis bahawa bekalan makanan dan air hampir tiada di Gaza.

Kesannya, orang awam terpaksa berdepan dengan kemungkinan dehidrasi dan kelaparan.

Terdapat penduduk yang cuba menggali telaga untuk mendapatkan air biarpun maklum yang air tersebut dicemari kumbahan dan sisa pepejal yang tidak dirawat.

Menurut Asaad, ahli keluarganya lebih suka beratur selama berjam-jam untuk mengisi botol air di stesen pengisian.

Walau bagaimanapun, mereka sedar bahawa air tersebut juga mungkin tidak selamat untuk diminum.

Umi al-Abadla, timbalan ketua pengarah penjagaan primer di kementerian kesihatan Gaza berkata, air yang sampai ke stesen pengisian pernah dirawat sebelum dipam.

Namun perkara itu tidak lagi berlaku disebabkan kekurangan bahan api.

“Akibat gangguan bekalan elektrik, air diagihkan dari telaga rawak yang airnya tercemar.

“Ini telah menyebabkan cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak, lebih daripada purata tahunan,” katanya.

Selain itu, kekurangan kebersihan diri akibat pemindahan beramai-ramai juga menyebabkan penyebaran penyakit kulit seperti cacar air dan taun.

Disebabkan terdesak untuk minum air, orang awam di Gaza terpaksa meminum air laut yang turut tercemar.

Lebih daripada 130,000 meter padu air sisa dibuang ke Laut Mediterranean setiap hari.

Menurut Salwa Islim, 45, dia dan keluarganya pergi ke laut untuk mandi dan kadang-kala minum.

“Saya terpaksa minum air laut dan orang di sini juga berbuat demikian,” katanya kepada Al Jazeera.

“Di manakah hak kami untuk air?

“Perang jenis apakah ini yang menghalang rakyat daripada makan, minum dan mendapatkan keperluan hidup yang lain?

“Adakah ini hukuman untuk kanak-kanak yang setiap hari berharap peperangan akan tamat?

“Mereka berdiri di jalanan dan meminta air untuk minum.

“Namun tiada air untuk diminum di Gaza,” katanya menutup bicara.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI