KUALA LUMPUR: Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) berpendapat SOP baharu elak kejadian anak tertinggal dalam kereta itu membebankan.
Prosedur operasi standard (SOP) baharu tersebut mewajibkan pengendali TASKA dan TADIKA menghubungi ibu bapa jika mendapati anak mereka tidak hadir ke kelas seperti biasa.
Presidennya Anisa Ahmad berkata SOP itu dilihat menekan dan menambah bebanan taska dan tadika.
“Bagi saya, kami sebagai pengusaha taska sudah menjalankan yang terbaik khususnya dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di TASKA.
“Dan untuk kami memikul tanggungjawab ibu bapa adalah tidak adil, kerana kami tidak mengasuh hanya seorang anak.
“Ibu bapa wajib mengambil tanggungjawab iaitu memastikan keselamatan anak-anak mereka sewaktu dijaga mereka.
Menurut Anisa lagi, mereka mempunyai tanggungjawab lain seperti memastikan anak-anak sihat, merekod perkembangan, menjalankan aktiviti dan lain-lain lagi.
Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata SOP itu dibuat susulan kekerapan kes kanak-kanak maut selepas ibu bapa terlupa dan meninggalkan mereka dalam kereta.
“KPWKM memperbaharui SOP susulan tiga kes kanak-kanak maut selepas tertinggal di dalam kereta dalam tempoh dua bulan ini.
“Operator taska dan tadika wajib menghubungi ibu atau bapa jika ada kanak-kanak tidak hadir ke kelas kerana ia mungkin berlaku disebabkan salah faham seperti kemungkinan biasanya ibu yang menghantar anak.
“Tetapi pada hari itu tiba-tiba bapa pula yang menghantar dan dia terlupa ke taska sebaliknya terus ke pejabat dengan anaknya terkunci di dalam kereta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Malam Media Bersama Datuk Seri Nancy Shukri anjuran KPWKM dan Parlimen Santubung di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Rabu lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemui meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Seorang bayi perempuan berumur 16 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di kawasan sebuah universiti awam (UA) di Kuala Nerus pada 25 Oktober lalu.
Kes lain ialah, pada 6 Oktober seorang bayi perempuan berusia lapan bulan maut selepas ditinggalkan hampir 10 jam dalam kereta ibunya dari pagi hingga petang di kawasan parkir kenderaan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HTCM), Cheras.
Pada 14 Mac lalu, seorang bayi perempuan berusia dua tahun meninggal dunia selepas empat jam ditinggalkan dalam kereta oleh ibunya di kawasan parkir sebuah kolej kemahiran di Port Dickson.
Anisa juga menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan anak-anak sampai di TASKA adalah tanggungjawab bersama ibu bapa.
Katanya lagi, jika SOP baharu elak anak tertinggal dalam kereta itu diwajibkan ini bermakna taska bertanggungjawab ‘seratus peratus’ ke atas anak-anak.
“Jadi di mana pula tanggungjawab ibu bapa?
“Bila tanggungjawab ibu bapa diberi kepada pengusaha dan pengasuh, maka bebanan kerja mereka bertambah.
“Maka bertambahlah juga tekanan kerja kepada pengasuh.
“Mereka pula nak kena risau kenapa anak-anak ini tidak hadir ke taska.
“Sedangkan di hadapan mereka sudah ada beberapa anak-anak yang pelbagai ragam yang perlu diberi perhatian.”
Anisa turut mengingatkan bahawa gaji pengasuh tidak tinggi dan setanding dengan tekanan serta bebanan kerja yang mereka hadapi.
“Bila kami hendak naikkan yuran taska, ramai yang marah tetapi kami sentiasa disogokkan dengan bebanan kerja yang sepatutnya dikongsi bersama dengan ibu bapa.
“Perlu diingatkan kami adalah ibu bapa ganti yang bersifat sementara yang mengasuh dan mendidik anak mereka ketika mereka bekerja bukannya menjaga anak-anak mereka sepenuh masa,” katanya.
Anisa juga mencadangkan agar mencari punca sebenar mengapa ibu bapa terlupa dan tertinggal anak di dalam kereta dan bukannya meletakkan kesalahan itu kepada pengusaha taska.