KOTA TINGGI: Jenazah Suhaimi Saad selamat dikebumikan pukul 9 pagi, 16 November di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Hampir 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat handai termasuk anggota kumpulan nasyid In-Team, Hijjaz, Diwani serta orang kampung hadir mengiringi jenazah.
Bacaan talkin dan tahlil ringkas dipimpin vokalis kumpulan nasyid Diwani, Hasnol Jamal.
Turut sama menyempurnakan pengebumian arwah ialah anak sulung dan anak keduanya iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, serta Salman Elkhoyri, 13.
Allahyarham Suhaimi menghembuskan nafasnya terakhir pada Rabu, 15 November 2023 pukul 7.40 malam di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Terdahulu, Suhaimi dimasukkan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI sebelum disahkan meninggal akibat jangkitan kuman di paru-paru.
“Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami,” luah Ina Naim.
Dalam satu wawancara Ina Naim atau nama sebenarnya Nordiana binti Mohd Naim berkata, suaminya itu sudah mula batuk teruk sejak Ogos lalu.
Katanya lagi, kesihatan suaminya semakin merosot awal Oktober selepas mengalami cirit-birit sehingga hilang berat badan sebanyak 20 kilogram.
“Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit-birit.
“Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.
“Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya.
“Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga umur 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun.”
Menurut Ina, sebelum ditidurkan arwah hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang.
Kata Ina, sebagai isteri arwah, pihaknya juga memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya itu.
“Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, termium atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia,” katanya.
Suhaimi Saad berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11 dan Nur Layla Elghufrony,9.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Suhaimi,43 dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik HSI sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga Ina dan Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
Berita mengenai kematian Suhaimi Saad turut dikongsikan oleh anggota In-Team, Hazamin di Instagram miliknya yang memohon disedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.
“Sahabat kami, Suhaimi Saad telah kembali ke Penciptanya jam 7.40 malam tadi. Mohon semua mendoakan almarhum dan sedeqkahkan bacaan Al-Fatihah.
Hazamin
“Semoga Allah mengampuninya dan mengumpulkan rohnya bersama para solihin.”
Hazamin
Perkongsian Hazamin itu dihujani komen daripada warga siber yang mengucapkan takziah kepada Ina dan keluarga di atas kehilangan suami tercinta.
Takziah diucapkan kepada Ina Naim dan keluarga.
Semoga roh Suhaimi dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah.