32.2 C
Kuala Lumpur
Monday, October 14, 2024
UtamaBerita UtamaMamalia purba ditemui masih hidup di Indonesia

Mamalia purba ditemui masih hidup di Indonesia

Mamalia purba ditemui masih hidup di Indonesia oleh sekumpulan saintis baru-baru ini. Ekspedisi tersebut diketuai oleh Dr. James Kempton.

rewild

Pergerakan mamalia yang dinamakan sempena Sir David Attenborough itu berjaya dirakam oleh saintis dalam klip video selama tiga saat buat pertama kali.

Berduri, berbulu dan berparuh, echidna digelar ‘fosil hidup’. Mamalia itu dipercayai wujud sekitar 200 juta tahun yang lalu ketika dinosaur masih wujud di muka bumi.

Menurut Dr. Kempton kepada BBC News, dia dan seluruh pasukan penyelidik berasa gembira dengan penemuan tersebut.

“Saya gembira, seluruh pasukan gembira,” kata Dr. Kempton sebaik sahaja menyedari keberadaan mamalia itu terakam dalam perangkap kamera.

Mereka menyedari kehadiran mamalia purba tersebut pada hari terakhir ekspedisi menerusi kad SD terakhir bagi kamera terakhir yang mereka pantau.

re:wild

Dr. Kempton menghubungi Sir David untuk berkongsikan hal tersebut. Sir David dikatakan ‘sangat teruja’ dengan penemuan itu.

Dr. Kempton merupakan ahli biologi dari Universiti Oxford yang mengetuai ekspedisi yang terdiri daripada pasukan pelbagai negara.

Ekspedisi di Pegunungan Cyclops Indonesia itu melibatkan ahli akademik dari Oxford dan universiti UK yang lain, Universiti Cenderawasih (UNCEN), Papua BBKSDA, dan NGO Indonesia YAPPENDA. Mereka juga bekerjasama rapat dengan pemilik tanah adat tempatan.

Ekspedisi ke kawasan Pergunungan Cyclops itu memakan masa selama sebulan.

BBC Pasukan Dr. Kempton menghabiskan masa selama empat minggu di hutan lembap

Pergunungan Cyclops merupakan lokasi yang belum pernah diterokai. Lokasi itu dipercayai menjadi habitat hutan hujan liar setinggi 2,000 meter di atas paras laut.

Selain penemuan mamalia purba Attenborough echidna, pasukan itu juga telah menemui spesies baharu serangga dan katak.

Echidna adalah satu-satunya mamalia yang bertelur. Tiga daripada empat echidna mempunyai paruh yang panjang dan echidna barat dikatakan paling terancam.

Ekspedisi terdahulu ke Pergunungan Cyclops memperlihatkan terdapat tanda ‘tusukan hidung’ pada tanah. Mereka percaya Attenborough echidna masih hidup.

Namun disebabkan mereka tidak dapat mengakses hutan terpencil itu, mereka tidak dapat mengemukakan bukti tentang keberadaan mamalia itu.

Ini bermakna, satu-satunya bukti yang mengatakan bahawa spesies Zaglossus attenboroughi ini wujud adalah menerusi spesimen berusia puluhan tahun.

Spesimen itu dikawal ketat di Treasure Room of Naturalis, muzium semulajadi Netherlands.

BBC Pepijn Kamminga memegang spesimen Attenborough echidna berusia 62 tahun

Menurut Encik Kamminga, ketika ditemui orang menyangka spesies ini telah pupus memandang terdapat hanya satu spesimen pada waktu itu.

“Oleh itu, penemuan ini merupakan berita yang menakjubkan,” ujar Encik Kamminga.

Pergunungan Cyclops adalah kawasan yang sangat curam dan berbahaya untuk diterokai.

Untuk sampai ke lokasi di mana echidna ditemui, para saintis terpaksa memanjat tebing yang berlumut dan berakar yang sempit dalam keadaan hujan.

BBC Dr. James Kempton mengetuai ekspedisi ke Pergunungan Cyclops.

Selain itu, terdapat tebing curam di kiri kanan mereka. Dan sepanjang ekspedisi, mereka telah merasakan gempa bumi sebanyak dua kali.

Mereka juga berdepan dengan binatang beracun seperti ular berbisa.

“Terdapat pacat di mana-mana sahaja. Bukan setakat di atas tanah, pacat-pacat itu juga memanjat dan melekat pada pokok dan jatuh ke atas anda untuk menghisap darah anda,” kata Dr. Kempton.

re:wild

Sebaik sahaja para saintis tiba di bahagian paling tinggi Cyclops, jelas pergunungan tersebut dipenuhi dengan spesies baharu bagi sains.

Menurut Dr. Davranoglou, dia dan rakan-rakannya sangat teruja sepanjang masa.

“Kami sangat teruja kerana kami sentiasa mengatakan, ‘ini perkara baharu, tiada siapa yang pernah melihatnya’ atau ‘Oh Tuhan, saya tidak percaya dengan apa yang saya lihat.’ Ia benar-benar ekspedisi abadi.”

Pada minggu pertama ekspedisi, Dr. Davranoglou patah tangan. Dia walau bagaimanapun masih kekal di pergunungan untuk mengumpul sampel.

BBC Dr. Leonidas-Romanos Davranoglou pakar serangga berkata mereka menemui berdozen spesies baharu

Mereka mengesahkan terdapat ‘beberapa dozen’ spesies serangga baharu dan menjangkakan akan ada lebih banyak lagi.

Mereka juga menemui jenis udang yang tinggal di pokok dan sistem gua yang tidak diketahui sebelumnya.

“Bahagian atas Cyclops benar-benar unik. Saya mahu mereka dilindungi,” kata Gison Morib, seorang ahli konservasi Yappenda yang bekerjasama dengan Universiti Oxford dalam ekspedisi itu.

“Kita harus melindungi gunung-gunung suci ini. Terdapat begitu banyak spesies endemik yang tidak kita ketahui.”

BBC Jenis udang yang ditemui di dalam tanah dan pokok di Pergunungan Cyclops

Ekspedisi terdahulu mengalami kesukaran untuk sampai ke bahagian Pergunungan Cyclops yang dikatakan terdapat echidna.

Ini kerana, masyarakat tempatan Papua percaya bahawa pergunungan tersebut suci.

Menurut Madeleine Foote dari Universiti Oxford, pergunungan tersebut dianggap sebagai wanita tuan rumah.

Ini bermaksud, mereka tidak boleh melakukan sewenang-wenangnya dan sudah tentu khazanah pergunungan itu perlu dipelihara.

Pasukan ini bekerjasama rapat dengan perkampungan tempatan.

Disebabkan itu, mereka perlu menerima bahawa tidak semua kawasan boleh mereka terokai. Adakalanya, mereka melintasi kawasan tertentu secara senyap.

Berdasarkan masyarakat tempatan, echidna adalah lambang kedamaian.

Ini kerana, apabila timbul sesuatu konflik, satu pihak yang berselisihan pendapat itu ditugaskan untuk mencari echidna dan yang lain mencari marlin (ikan).

Memandangkan kadangkala bertahun-tahun masa diperlukan untuk menemui echidna, persengketaan antara pihak yang berkonflik itu akhirnya terlerai.

Dr. Kempton berharap penemuan semula echidna dan spesies baharu yang lain akan membantu membina pemuliharaan Pergunungan Cyclops.

BBC

Walaupun diancam kepupusan, mamalia purba Attenborough echidna bukanlah spesies yang dilindungi di Indonesia. Para saintis tidak tahu berapa besar populasi atau adakah spesies ini masih boleh dikekalkan.

“Memandangkan banyak hutan hujan belum diterokai, apa lagi yang belum kita temui?

Attenborough echidna berparuh panjang adalah simbol daripada apa yang perlu kita lindungi – untuk memastikan kita dapat menemukannya.”

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI