PETALING JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ustaz Hafiz giat dijalankan. Guru agama itu dipercayai hilang di Pusat Rekreasi Sedim sejak Jumaat.
Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba ii Mohd Rahimi Ali berkata, operasi yang memasuki hari keempat itu digerakkan pada pukul 8.30 pagi.
“Operasi semalam tamat sekitar 7 malam berikutan keadaan cuaca yang baik. Macam hari ni pun mungkin sama juga bergantung kepada keadaan cuaca.
Tumpuan pencarian difokuskan kembali kepada empat sektor yang telah pun kita lakukan pada hari kedua pencarian sebelum ini,” katanya kepada Buletin TV3.
Sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang petunjuk untuk menjejaki guru sekolah rendah berkenaan.
Kira-kira 60 anggota SAR membabitkan pasukan bomba, polis, renjer dan penduduk kampung masih berusaha mencari mangsa.
“Dalam kes ini kita tiada saksi yang nampak sama ada mangsa ni ke sungai atau mendaki dan barang-barang peribadi dia memang kita tak jumpa di sepanjang sungai ke atau di mana-mana tempat pencarian kita lah.”
Terdahulu pihak JBPM menerima panggilan berhubung kehilangan seorang guru agama, Mohd. Hafiz Jasmi, 38 pada Jumaat, 10 November lalu.
Petunjuk awal kehilangan Ustaz Hafiz adalah kereta jenis Proton Saga berwarna putih miliknya ditemukan di kawasan peranginan Sungai Sedim.
Operasi mencari dan menyelamat dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon pertama dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) menuju ke Puncak Gunung Bintang.
Zon kedua dari PKB ke kawasan bahagian bawah.
Manakala Zon ketiga pula dilakukan dari PKB melalui laluan trek dan operasi diteruskan sehingga mangsa ditemui.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa Zaiton Othman, 64 berkata, dia mengetahui kehilangan anaknya itu selepas dihubungi salah seorang guru di sekolah tempat Ustaz Hafiz mengajar.
“Saya berserah sepenuhnya kepada Allah dan apa pun keputusannya saya reda,” kata Zaiton.
Bagi Shahrudin Mutalib, rakan guru mangsa berkata, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada 2 November lalu.
“Sepanjang aktiviti sukan berjalan dari mula sehingga habis saya lihat rakan saya ceria sahaja.”
Menurut Shahrudin juga, mangsa juga sering berjenaka dengan semua orang.
“Mohd. Hafiz dan saya bertugas sebagai guru pendidikan Islam pada waktu sesi petang.
“Selepas hari sukan ketika sekolah dibuka semula selepas cuti hujung minggu pada hari Ahad, saya tidak bertemu dengannya.”