KUALA SELANGOR: Menu Rahmah tidak lagi diteruskan di kebanyakan restoran mamak lantaran kenaikan kos barangan keperluan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pengusaha restoran tidak dapat menampung kenaikan harga barangan yang tinggi.
“Kami dan pihak kerajaan sendiri tidak pernah memaksa restoran mamak menyediakan Menu Rahmah, tetapi ia bergantung pada kemampuan masing-masing,” katanya.
Terdapat kira-kira 30 peratus pengusaha restoran mamak yang berdaftar di bawah Presma masih meneruskan inisiatif itu menurut Jawahar.
Meskipun harga keperluan meningkat, tiada kenaikan harga makanan sewenang-wenangnya di restoran mamak.
Tambah Jawahar, rata-rata pengusaha restoran masih mampu menampung kenaikan itu dan menjual pada harga munasabah.
“Kita tidak nafikan ada berlaku peningkatan kos barangan.
Tetapi Presma tidak terjemahkan kepada kenaikan harga makanan yang kami jual melainkan jika kos itu terlalu tinggi atau naik secara mendadak.
Jika ada kenaikan harga makanan sekalipun, saya yakin ia pada kadar cukup minimum,” ujar Jawahar.
Berikutan kempen boikot produk makanan segera yang dikaitkan dengan Israel, Jawahar berkata kedatangan pelanggan tidak banyak berubah.
“Makanan segera lebih berkonsep kayangan, manakala (segmen perniagaan) kami (tumpu) makanan harian.
“Kami tidak menyediakan sajian sama kerana pelanggan yang datang ke (restoran mamak) hendak santai,” jelasnya.