Pulau Langkawi yang dikatakan bakal menjadi ‘pulau hantu’ kembali meriah dengan kedatangan lebih 10,000 orang pelancong sempena cuti perayaan Deepavali pada 12 November.
Penolong Pengurus Operasi, Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abd Wahid berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,252 pelancong masuk menerusi perkhidmatan feri penumpang, 675 menggunakan feri penumpang kenderaan (RoRo) dan seramai 3,500 tiba melalui penerbangan.
Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 2,406 penumpang masuk menerusi enam trip feri dari Kuala Kedah dengan pelepasan pertama jam 8.30 pagi pada Ahad, 12 November.
“Pada masa sama, sejumlah 3,846 penumpang lagi masuk ke pulau ini menerusi tujuh trip perjalanan feri dari Kuala Perlis yang bermula seawal jam 8 pagi,” katanya.
Mengulas berkaitan isu kedatangan pelancong ke Langkawi yang dikatakan merosot kebelakangan ini, Norhafiz berkata, ia perkara biasa ketika bukan musim cuti.
“Apabila tiba musim cuti perayaan atau cuti sekolah, permintaan dan kedatangan pelancong akan naik mendadak semula.
“Kami di Ferry Line pada hari biasa menyediakan lima trip dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah. Tetapi apabila permintaan semakin naik, kami akan tambah trip,” katanya.
Norhafiz berkata, bermula Jumaat sehingga Isnin, mereka telah mengambil inisiatif menambah jumlah trip untuk kemudahan pelancong.
“Hari Selasa pun kami cadang nak tambah sikit trip untuk yang tak sempat keluar dari pulau pada hari sebelumnya,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kehadiran pelancong ke pulau legenda Langkawi semakin merosot dan membimbangkan penggiat pelancongan di pulau peranginan popular itu.
Industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini.
Sementara itu, peniaga di Pulau Langkawi memohon orang ramai menghentikan isu ‘pulau hantu’ yang dianggap sengaja ditimbulkan sehingga menjadi bualan hangat kebelakangan ini.
Pengusaha Restoran Bamboo Chenang, Mior Johan Johari berkata, sektor pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa malah rancak pada cuti sambutan perayaan Deepavali.
Katanya, fenomena pelancong kurang pada hari biasa juga bukan sesuatu yang pelik sehingga Langkawi boleh diberi jolokan ‘pekan zombie’.
Menurutnya, jolokan sedemikian kepada pulau legenda itu boleh memberi gambaran buruk kepada pelancong luar yang ingin melancong ke Langkawi.