Dengan usia yang masih muda, kanak-kanak ini sudah berdepan cabaran dan dugaan dalam hidupnya yang menyebabkan dia terpaksa cepat menjadi matang.
Pada usia 12 tahun, seorang kanak-kanak perempuan sudah menggalas tanggungjawab besar apabila terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat diserang strok atau angin ahmar.
Ketika kanak-kanak sebayanya berada di sekolah dan menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar, dia memilih untuk mengutamakan ibunya yang sakit berbanding pelajaran.
Kisah sedih kanak-kanak malang bernama Iman itu dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh yang juga merupakan aktivis sosial Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.
“Seorang murid tahun 6, Iman didapati selalu tak hadir ke sekolah. Setelah sekolah siasat, rupanya anak ini menjaga emaknya yang strok. Bila Cikgu Zahran maklumkan kepada saya kes ini, kami terus buat kunjung ziarah.
“Hantar lampin pakai buang, hantar makanan dan beri bantuan. Selepas kunjungan dari pihak sekolah dan pihak Dana Kita hulur sumbangan, anak ini kembali rajin ke sekolah,” kongsi Mohd Fadli di Facebook.
Menurut Mohd Fadli, sumber pendapatan keluarga Iman bergantung kepada kakak dan abangnya yang bekerja di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, memandangkan bapa mereka sudah meninggal dunia.
“Kakaknya berusia 17 tahun berhenti sekolah sejak tingkatan satu kerana hidup susah. Abang dan kakak inilah yang kerja di M3 Mall (Taman Melati) untuk menyara emak dan adiknya.
“Mujur Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ada beri bantuan bulanan RM500 sebulan. Ringanlah sikit beban mereka.
“Namun RM500 sebulan nak jaga orang strok, nak beli barang dapur, memang sangat-sangat tak cukup. Harap sangat ada pihak MAIWP ziarah keluarga ini dan nilai semula zakat bulanan itu. Kalau dapat naikkan sedikit lagi, syukur,” kongsi Mohd Fadli.
Tidak mahu kanak-kanak berkenaan keciciran dalam pelajaran, Mohd Fadli berkata pihaknya menerusi Dana Kita akan menyalurkan bantuan keperluan pembelajaran.
“Saya sungguh-sungguh berpesan agar anak bongsu ini habiskan belajar sampai SPM.
“Apa jua keperluan pembelajaran, pakaian, yuran, tuisyen dan sebagainya Dana Kita akan bantu sampai tamat belajar, InsyaAllah.
“Semoga anak ini terus kuat semangat dan berjaya mengubah nasib keluarga. Amin,” kongsi Cikgu Mohd Fadli.
Semoga dipermudahkan segala urusan keluarga ini dan pihak yang membantu mereka.
Pilihan Editor: