Penyanyi dan penulis lirik terkenal Malaysia, Namewee pada ulang tahun kelahirannya 5 Mei yang lalu telah berkongsi kisah perit getir kehidupannya sebelum dia akhirnya berjaya dan terkenal seperti hari ini.
Menurutnya, pada 20 tahun yang lalu, dia yang pada ketika itu masih muda telah menyambung pengajiannya di Taiwan, dan dalam masa yang sama, dia turut menggunakan masa yang ada untuk melakukan perlbagai kerja. Tujuannya hanya satu, untuk mengumpul wang yang mencukupi untuk membeli peralatan muzik yang sesuai supaya dia dapat menghasilkan lagu yang berkualiti untuk dijual kepada penyanyi.
“Saya pernah bekerja sebagai pelayan di pelbagai restoran, bekerja di kedai potong ayam, memanjat di bangunan tujuh tingkat untuk membantu orang memasang bar, dan pada cuti musim panas, saya bekerja sebagai pekerja sementara untuk memasang pentas, mengedarkan risalah, bekerja sebagai jurujual, dan dikejar oleh anjing. Tujuannya adalah untuk mengumpul wang bagi membeli peralatan muzik yang lebih baik, merekodkan karya sebagai demo, dan ingin menjualnya kepada penyanyi dalam talian untuk menyanyi.”
Bukan itu sahaja, Namewee berkongsi bahawa dia pernah merakam demo di dalam CD dan menghantarnya kepada sekurang-kurangnya 20 atau 30 syarikat rakaman terkenal dan tidak dikenali di Taiwan. Namewee juga pernah menghantar sendiri CDnya dari pintu ke pintu dengan hanya menaiki motosikal.
“Saya melakukannya berulang kali seperti ini, tahun demi tahun, minggu demi minggu, tetapi masih tiada siapa yang mengambil berat tentangnya…” tulis Namewee.
Menurut Namewee, pada masa itu, dia telah berpindah sebanyak lima kali.
“Saya pernah tinggal di tingkat bawah garaj tempat letak kereta, tinggal di bangunan usang, dan tinggal di kawasan berbahaya yang penuh dengan naga dan ular. Untuk menjimatkan wang, saya memasak ketiga-tiga hidangan seharian saya, dan membuat bekalan sendiri apabila saya keluar. Bahan-bahan masakan yang rosak, selagi tidak berbau busuk, saya akan cuba sedaya upaya untuk menghabiskannya…
“Kemudian, saya pergi ke Super Avenue of Stars untuk bekerja secara sambilan, supaya dapat mendekati mentor penilai. Saya mencuba segala cara untuk memberikan karya saya kepada sesiapa sahaja yang mungkin boleh membantu saya, tetapi semuanya sia-sia…”
Lima tahun mencuba dan terus mencuba, apabila Namewee hampir berputus asa, akhirnya dia mula mendapat harapan baharu, iaitu dengan kewujudan laman YouTube. Melalui medium ini, Namewee mula mencipta namanya sendiri, sehinggalah kini dia sudah dikenali ramai bukan sahaja di Malaysia, malah di negara luar juga.
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman menyentuh hati oleh Namewee ini telahpun meraih sehingga lebih dari 275,000 reaksi, lebih dari 5,100 kongsian dan lebih dari 11,000 komen.
Sememangnya perkongsian kisah masa lalu Namewee yang penuh suka dan duka ini boleh memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Jangan pernah berputus asa, cubalah sehabis mampu. Segala usaha yang kita lakukan tidak pernah sia-sia…
Pilihan Editor: