Sejak bulan April, kiriman kutipan derma untuk membantu seorang bayi lelaki bernama Muhammad Naail Wan Aslam atau lebih dikenali sebagai Baby Naail mula ditularkan oleh ramai warganet terutamanya di Malaysia. Menurut sumber, Baby Naail menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1 (SMA1) yang merupakan sejenis penyakit genetik jarang jumpa selepas Baby Naail mencecah umur empat bulan.
Disebabkan penyakit ini merupakan penyakit yang jarang dijumpai, maka rawatan yang diperlukannya juga memakan kos yang sangat tinggi. Antaranya adalah satu suntikan sekali seumur hidup yang bernilai RM9 juta, yang dikutip hasil sumbangan seluruh rakyat Malaysia yang budiman melalui sebuah web kutipan derma, Misi Rakyat.
Sehingga entri ini dihasilkan, kutipan derma untuk Baby Naail telahpun melebihi sasaran iaitu sebanyak RM9,435,581.00 dan menurut kiriman yang dimuatnaik oleh Pengasas Misi, Nor Ahmad Faiz Mohd Adli, kutipan itu secara sepenuhnya akan digunakan bagi membantu kos rawatan Baby Naail dan dia turut bersyukur dengan segala bantuan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia terhadap misi ini.
Berdasarkan sebuah video yang dimuatnaik oleh Nor Ahmad Faiz sendiri, dapat dilihat beberapa nama pengasas terkenal di Malaysia tertera di paparan dengan jumlah derma yang sangat besar seperti Hafiz Mahamad, dengan sumbangan derma bernilai RM100,000 dalam dua transaksi yang berbeza, Ayuni dengan sumbangan derma bernilai RM50,000, Mda dengan sumbangan sebanyak RM25,000, Mukminpro2 dengan sumbangan sebanyak RM21,000 dan ramai lagi rakyat Malaysia yang cukup bermurah hati untuk membantu Baby Naail.
Tidak dapat dinafikan, bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia walaupun sekecil RM1 sekalipun benar-benar memberi makna yang besar buat Baby Naail dan keluarga kerana disebabkan jumlah yang terkumpul ini, harapan untuk Baby Naail kembali sembuh semakin mencerah.
Berikutan sumbangan derma yang berjaya dikumpul ini, ibu kepada Baby Naail, Siti Norraihan Mohd Amin benar-benar bersyukur dan berterima kasih kepada semua penderma yang sudi memberikan bantuan kepada bayinya.
“Sekecil-kecil amaun pun kami sangat hargai, apatah lagi jumlah yang besar nilainya tanpa berkira-kira.
“Lagi-lagi yang menyumbang tanpa mengenali kami.
“Berlapang dadalah kalian. Apa sahaja kebaikan yang kita buat, serahkanlah kepada Allah untuk menilai,” ujarnya dalam temubual bersama SinarPlus.
Terima kasih rakyat Malaysia, ini sememangnya detik yang sangat menyentuh hati.
Pilihan Editor: