Penjagaan kebersihan yang baik bukanlah hanya merangkumi kawasan persekitaran di dalam rumah sahaja. Malah, hal ini sepatutnya diaplikasikan dalam setiap perkara yang kita lakukan tidak kira besar mahupun kecil seperti misalnya, dari segi cara membuang sampah dalam tong sampah.
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna laman Twitter @ricxxxkiddo, telah memuat naik kiriman video yang menunjukkan kesukaran yang dialami oleh pekerja pembersihan akibat sikap sesetengah orang yang tidak mengikat sampah-sarap dalam plastik sebelum membuangnya dalam tong sampah yang lebih besar.
Tambah menyukarkan lagi tugasan, sampah-sarap yang dibuang dalam sebuah tong besar berwarna hijau itu dilihat adalah sampah ‘basah’ hasil dari sisa saki-baki makanan yang tidak habis.
“Tolonglah kalau hendak membuang sampah itu, ikatlah (plastik) dahulu dengan betul,” tulis @ricxxxkiddo dalam kiriman berkenaan.
Menerusi video yang dimuatnaik, dapat dilihat seorang pekerja pembersihan merakamkan tugas hariannya yang perlu mengambil sampah dalam tong besar yang disediakan dan seterusnya memasukkan sisa sampah dalam lori pemprosesan.
Walau bagaimanapun, tugasnya sedikit terganggu apabila di bahagian bawah tong sampah itu dipenuhi dengan sisa sampah yang tidak diletakkan dan diikat dalam plastik sampah. Sampah-sarap itu kelihatannya dibuang secara terus ke dalam tong sampah besar berkenaan.
Hal ini kemudiannya menyebabkan pekerja itu terpaksa berulang-kali menggunakan peralatan yang menyangkut tong itu untuk dituangkan sampahnya ke dalam lori berkenaan kerana sampah yang bertaburan dalam tong itu sukar untuk keluar sepenuhnya akibat geseran dengan dinding tong.
“Kenapa ya? Ada (orang) yang suka membuang sampah (secara) berterabur dalam tong begini,”
“Lihatlah susah nak habiskan (sampah)” luah pekerja berkenaan dalam teks yang ditulis dalam video.
Memang menyusahkan!
Disamping itu, video berkenaan juga sempat memberi nasihat kepada orang ramai untuk sama-sama menjaga kebersihan dengan membuang sampah dalam plastik dan diikat dengan kemas sebelum dibuang ke tong sampah yang lebih besar.
Selain daripada dapat memudahkan tugas pekerja pembersihan yang akan mengutip sampah berkenaan, tindakan ini juga dapat mengurangkan pencemaran bau di sekitar rumah, dan seterusnya dapat menyekat kedatangan serangga mahupun binatang yang suka dengan sampah-sarap yang kotor.
Tambah pekerja pembersihan itu lagi, sebaiknya tong sampah yang telah digunakan perlulah dibasuh selepas kutipan sampah dilakukan kerana air sampah yang dibiarkan kering dengan sendiri dalam tong sampah cenderung untuk menghakis dinding tong sampah kerana sifatnya yang berasid.
Sehingga entri ini dihasilkan, kiriman ini telahpun meraih sehingga lebih dari 52,100 tontonan, 1,410 ulang ciap, 1,272 sukaan dan 25 komen dari warganet yang turut meluahkan rasa berang dengan sikap sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab begini.
“Membuang sampah bukanlah untuk memudahkan diri kita, (tetapi) untuk memudahkan orang yang akan mengutip sampah kita nanti. (Sampah) kaca perlu dibalut dengan baik, kerana dibimbangi akan terkena pada orang lain. Sampahnya pula perlu diikat dengan elok, tapislah air (sampah) supaya tidak terlalu bertakung. Tidak salahpun kita memudahkan urusan orang lain, kita juga akan diberikan ganjaran pahala”
“Kita gigih menapis (sampah) seperti kari, bahan dalam masakan yang tidak hancur semata-mata mahu membuang hampas sahaja. (Tetapi) orang ini begitu tenang sekali membuang nasi kandar begitu sahaja dalam tong itu”
“Sisa makanan yang lembik seperti bubur atau air, buanglah di dalam sinki. Sisa makanan yang keras pula buanglah di dalam plastik sampah. Jika anda mempunyai tong begitu, letakkanlah dua lapisan plastik hitam bersaiz besar sesuai dengan tong. Sebaiknya cari yang tebal.
Sampah di dalam rumah pula letaklah di dalam plastik yang kecil sahaja. Kemudian, selang dua hari barulah dibuang ke dalam tong sampah besar berwarna hijau.”
Selain itu, ada juga antara warganet yang berkongsi pengalaman masing-masing berkaitan hal yang sama.
“Di kawasan rumah saya pekerja pembersihan tidak akan mengambil sampah yang tidak diikat atau yang diletakkan di luar tong sampah. Ramai (penduduk) yang tidak suka tetapi saya setuju dengan tindakan ini kerana apabila tindakan begini diambil barulah penduduk yang lain mahu meletak dan mengikat plastik sampah mereka dengan baik. Jika tidak sebelum ini sampah-sampah itu bertaburan dan anjing-anjing liar juga akan datang memunggah sampah yang bertaburan itu”
Justeru, jagalah kebersihan walau dimanapun kita berada. Jika kita tidak mampu untuk melakukannya demi orang lain, setidak-tidaknya, lakukanlah demi kebaikan diri sendiri.
Pilihan Editor: