Pekerja jadi penyelamat kedai makan kecil daripada gulung tikar. Memang pada mulanya majikan hampir gulung tikar, namun semuanya berubah selepas pekerja kedai makan menghantar emel kepada pengkritik makanan Keith “Killa” Lee.
Pada suatu hari, Keith menerima satu emel daripada seorang pekerja kedai makan kecil di Vegas. Dalam emel tersebut pekerja itu memaklumkan bahawa kedai makan majikannya sangat kekurangan pelanggan hinggakan mereka tidak mampu membayar sewa kedai.
Tulis pekerja itu lagi, majikannya telah cuba mendapatkan khidmat pencipta kandungan namun pencipta kandungan tersebut meminta bayaran yang agak mahal. Jadi, dia pun menghubungi Keith dan meminta bantuan Keith untuk membuat ulasan makanan bagi pihak mereka. Ujar pekerja itu lagi, makanan di kedai mereka sangat lazat cuma tidak mendapat sambutan kerana tiada pemasar yang memasarkan makanan mereka. Pekerja itu juga meminta Keith menyatakan bayaran yang perlu dibayar bagi melaksanakan tugasan mengulas makanan tersebut.
Keith datang ke kedai makan seperti yang dipinta. Dia membaca menu dan mengambil masa yang agak lama untuk membuat pesanan. Ketika itu Frank pemilik kedai yang mengambil pesanannya. Dengan penuh kesabaran Frank menunggu Keith membuat pilihan. Keith tidak menyangka yang Frank pada mulanya tidak tahu bahawa Keith ialah pengkritik makanan. Mereka berkenalan dan berborak seketika.
Menurut Keith, dia tidak mengambil sebarang bayaran malah semua makanan yang dimakan untuk tujuan ulasan makanan dibayarnya sendiri. Keith memutuskan untuk menguji makanan kedai tersebut bagi mengetahui sama ada pemasaran atau makanan itu sendiri ataupun perkhidmatan mereka yang teruk sehingga tiada pelanggan datang ke kedai mereka.
Setelah pulang ke rumah, Keith mencuba semua makanan yang dibelinya dari kedai berkenaan. Satu demi satu makanan dicubanya dan ternyata makanan-makanan tersebut memang sedap! Hampir semua makanan memperoleh skor markah 9 daripada 10.
Selepas menjamah semua makanan tersebut, Keith bersetuju dengan kata-kata pekerja kedai makan bahawa makanan di kedai mereka lazat. Jadi tiada sebab untuk Frank mengalah dan gulung tikar. Dengan sedikit sentuhan pemasaran, Keith yakin perniagaan Frank boleh berkembang maju.
Keith memuat naik video ulasan makanan tersebut di TikTok dan sehingga artikel ini ditulis, video tersebut telah mendapat 42 juta tontonan.
Katanya sebelum dia memuat naik video ulasan makanan tersebut, pengikut kedai tersebut hanyalah 2000 orang. Namun dalam masa kurang sehari, pengikut kedai tersebut bertambah sehingga mencecah 10,500 orang.
Menurut Keith ketika menunggu makanan yang dipesan sampai, dia sempat mengambil gambar sekitar kedai. Ketika meninjau-ninjau suasana kedai, dia melihat hanya dia, pemilik kedai Frank dan seorang pekerja yang berada di kedai itu. Kemudian semuanya berubah dalam sekelip mata.
Pada keesokan harinya kedai makan kecil berkenaan diserbu orang ramai. Kelihatan pelanggan tidak putus-putus datang ke kedai makan tersebut dari mula kedai dibuka iaitu pada pukul 9 pagi hinggalah kedai ditutup pada pukul 5 petang.
Keith memandu ke kedai itu untuk mendapatkan kepak ayam dan milkshake dan begitu terkejut melihat orang ramai beratur di luar kedai Frank.
Menurut Frank sejak ulasan makanan kedainya tular, ramai orang berkunjung ke kedainya. Frank tidak menang tangan menguruskan persiapan makanan dan melayan para pelanggannya. Katanya jika jualannya habis awal, maka kedainya akan ditutup awal.
Frank juga meminta maaf kepada pelanggan yang tidak dapat membeli makanan. Ini kerana stok makanan yang ada tidak dapat menampung jumlah pesanan yang menderu masuk. Bukan sahaja di kedai, malah Frank juga menerima banyak pesanan melalui aplikasi pesanan makanan. Frank berharap agar para pelanggan memahami keadaannya yang sedang cuba menyesuaikan diri dengan lambakan pesanan yang diterima selepas video ulasan makanan oleh Keith tular.
Keith gembira melihat perkembangan perniagaan Frank yang semakin hari semakin sibuk. Sungguhpun telah mula dikenali, Frank tidak melupakan jasa Keith. Kata Keith, berulang kali Frank mengucapkan terima kasih kepadanya.
Dalam satu temu bual, Frank mengatakan bahawa perniagaannya semakin bertambah maju. Jumlah kepak ayam yang digorengnya kini berlipat ganda berbanding dahulu. Kata Frank lagi, pelanggannya datang dari pelbagai tempat. Frank tidak menyangka impiannya selama 30 tahun untuk membuka kedai makan akhirnya tercapai.
Berdasarkan kisah ini, para pekerja sebenarnya boleh menyelamatkan majikan masing-masing daripada gulung tikar. Jika anda sayangkan pekerjaan anda, lakukan sesuatu yang akhirnya memberi manfaat kepada anda semula.
Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada peniaga di luar sana terutama mereka yang terlibat dengan perniagaan makanan dan minuman.
Kepada pekerja Frank, terima kasih kerana tindakan kecil anda telah menyelamatkan majikan anda.
Pilihan Editor: