Kemalangan berlaku hampir setiap hari dan baru-baru ini seorang pemandu lori mengejutkan orang ramai apabila memandu lori yang remuk terus ke unit kecemasan hospital untuk menyelamatkan kelindannya.
Pemandu lori bersama kelindannya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah jentera padi di Jalan Sungai Korok, Jitra, Kedah pada 7 Februari lalu, lapor Sinar Harian.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo telah mengesahkan kejadian ini dan berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kes kemalangan lori tersebut sebelum itu.
Katanya, petugas Hospital Jitra dikejutkan dengan ketibaan lori remuk yang berhenti di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma pada kira-kira jam 4 petang.
“Pesakit dipercayai memandu lori itu terus ke unit kecemasan hospital berkenaan dan petugas kecemasan segera mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk itu,” katanya.

Kelindan yang tersepit di tempat duduk penumpang telah dihantar terus ke Zon Merah untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu yang mengalami kecederaan ringan diberi rawatan sebagai pesakit luar.
“Kelindan berkenaan mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan lanjut,” katanya.
Pilihan Editor: