Khabar angin kononnya Kerajaan Perpaduan sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan atau mengurangkan pencen pesara termasuk bekas anggota Kabinet adalah tidak munasabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana perkara itu membabitkan isu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Berita Harian melaporkan Perdana Menteri menjelaskan cadangan pemansuhan atau pengurangan pencen anggota Kabinet perlu diteliti dan dirujuk semua pihak.
“Pencen bekas anggota Kabinet… pencen ini seperti yang diketahui adalah peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

“Ada khabar angin mengatakan Kerajaan Perpaduan akan mempertimbangkan untuk memansuhkan pencen (pesara) atau mengurangkannya, itu tidak munasabah kerana isu ini adalah perkara di bawah Perlembagaan dan perlu diteliti serta dirujuk semua pihak,” katanya.
Bagaimanapun, katanya langkah lain boleh diambil pada ketika ini termasuk membatalkan kemudahan biasa dan peruntukan kereta untuk anggota Kabinet kerana ia melibatkan pentadbiran dan bukannya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara ini dibangkitkan selepas bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berkongsi kerajaan boleh menjimatkan antara RM100 juta hingga RM150 juta dalam perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.
Beliau berkata, berdasarkan sistem semasa negara dan bilangan bekas anggota Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen ialah RM100 juta hingga RM150 juta setahun.
Tambah Noor Amin, pihak terbabit tidak sepatutnya diberi pencen kerana ia dibayar berdasarkan sistem eksekutif, bukannya legislatif, dan cukup sekadar mengambil gratuiti yang lumayan.
Pilihan Editor: