Arapaima merupakan salah satu ikan air tawar terbesar di dunia. Ia boleh membesar sehingga 4.6 meter panjang dan berat sehingga 200 kilogram.
Beberapa hari lalu, seorang lelaki menarik perhatian kalangan warganet apabila memuat naik video dia memancing dan menangkap seekor ikan Arapaima di sebuah tasik di Puchong.
Dalam gambar yang tular, lelaki itu yang dikenali Aimran Syahmi dilihat memeluk tangkapan seekor ikan Arapaima yang sebesar badannya di Facebook. Terdapat juga video dia bergelut dalam tangkapan besarnya itu.
“Ini adalah yang kecil. Malah ada yang lebih besar,” dakwanya ketika menjawab komen warganet yang menyatakan rasa kagum dengan saiz besar ikan raksasa itu.
Tidak menghairankan apabila tangkapan besar Aimran mendapat perhatian ramai, tetapi apa yang menghairankan bagaimana ikan besar itu boleh berada di dalam tasik di Puchong kerana Arapaima adalah spesies ikan asing invasif yang memusnahkan ekosistem sungai dan tasik, yang bukan habitat asalnya.
Jabatan Perikanan Malaysia mengklasifikasikan Arapaima sebagai salah satu ikan invasif yang mengancam ekosistem sungai dan meminta orang ramai agar tidak melepaskan sebarang ikan Arapaima ke perairan awam dan melupuskannya jika ditangkap.
Ini kerana Arapaima merupakan ikan pemangsa yang memakan semua jenis ikan asli dan boleh membesar dengan cepat, justeru mudah menjadi dominan di habitatnya, menurut National Geographic.
Berasal dari Amerika Selatan, spesies ikan ini mula diperkenalkan di Thailand sebagai ‘sport fishing’ ekoran ikan itu mampu membesar dengan pantas berbanding spesies ikan lain dan turut diimport (secara haram) ke Malaysia bagi tujuan itu.
Arapaima merupakan spesies ikan larangan import di bawah Akta Perikanan 1985.
Adalah menyalahi undang-undang apabila seseorang menyimpan dan memelihara ikan ini, yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun, mengikut Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan import dan sebagainya bagi ikan) (Pindaan 2011).
Tonton video di sini.
Pilihan Editor: