Sepatutnya pasangan suami isteri perlu sentiasa menyokong hobi masing-masing, tetapi jika hobi itu boleh mengganggu gugat kebahagiaan rumah tangga pun tidak boleh juga.
Alkisahnya berlaku di Indonesia apabila seorang isteri mula bengang dengan hobi suaminya yang agak taksub ketika membela ikan hiasan spesies Discus.
Pada satu hari, tahap kesabarannya tidak boleh dibendung lagi lantas dia telah nekad melakukan satu kerja gila, yang mana telah menggoreng kesemua ikan hiasan yang mahal itu.
Dalam satu rakaman video TikTok yang tular dengan lebih 30 juta tontonan, pengguna TikTok @bunga_bungaa meluahkan rasa tidak puas hati dengan suaminya yang mendahulukan keperluan ikan-ikan hiasan itu berbanding dirinya.
“Semua ini gara-gara ikan, apa-apa sahaja asyik cakap pasal ikan.. Semalam keluar di mall pun rancangan batal cari makanan ikan. Jadi kita goreng semua ikan ini. Sekarang apa lagi, makan itu ikan..” kata isteri ini yang geram dengan hobi terlebih prihatin suaminya.
Isteri ini memang serius menggoreng sejumlah 80 ekor ikan hiasan mahal jenis Discus yang pada awalnya berada teramat cantik dan indah di dalam akuarium di rumah mereka.
Kemudian Puan Bunga menunjukkan hasil masakan ikan gorengnya yang nampak cantik dan enak serta rangup di luar.
“Hanya digoreng kosong tetapi nampak enak, nanti suami balik makan ikanlah,” katanya.
Kesemua ikan Discus yang sudah siap digoreng kosong nampak gaya macam ikan goreng kunyit walaupun tidak dilumur dengan kunyit. Kasihan pun ada dengan ikan ini tetapi hendak buat macam mana sebab hati tengah panas, maka ikan-ikan itulah yang menjadi sasaran.
Difahamkan harga ikan Discus boleh mencecah sehingga ribuan ringgit mengikut saiz, corak dan spesiesnya yang unik.
Kesemua 80 ekor ikan hiasan yang sudah digoreng itu boleh menyamai harga sebuah kereta.
Sudah tentulah si suami agak kecewa dan mula merajuk apabila mendapat tahu nasib 80 ekor ikan kesayangannya berakhir di dalam kuali.
Namun, kemarahannya dengan isteri tersayang yang cantik jelita itu tidak bertahan lama kerana pada keesokan harinya mereka telah berbaik semula dengan segera.
Dan kehidupan diteruskan bagai tiada apa seperti biasa.
Pilihan Editor: