Pemindahan wang dalam talian sememangnya amat berguna dan memudahkan urusan kerana anda boleh menghantar wang kepada sesiapa sahaja dengan hanya menekan nombor akaun di hujung jari.
Memandangkan akaun bank adalah gabungan nombor, adalah sangat mudah untuk melakukan kesilapan dan itulah yang berlaku kepada seorang gadis bernama Fahada Bistari.
Dalam muat naik video TikTok yang telah menjadi tular dengan lebih 3.1 juta tontonan, Fahada berkongsi bagaimana dia secara tidak sengaja telah memindahkan wang daripada gaji pertamanya kepada seorang individu yang tidak dikenali.
“Hari ini saya dapat gaji pertama. Jumlahnya taklah banyak sebab saya baru bekerja beberapa hari. Saya telah masukkan wang kepada ibu saya tetapi dipendekkan cerita, saya secara tidak sengaja telah masukkan wang kepada ke akaun orang lain,” luahnya dengan nada sedih.
Bercerita lanjut tentang bagaimana perkara itu boleh berlaku, Fahada berkata sebelum ini dia pernah membantu ibunya membuat pembayaran ke nombor akaun itu.
Oleh kerana dia sangat teruja untuk memberikan wang gaji pertama kepada ibunya, dia tidak memeriksa semula dengan teliti nama pada akaun itu dan terus sahaja melakukan pemindahan.
Fahada yang seronok pada mulanya, kemudian telah menghantar resit pemindahan wang itu kepada ibunya dan dia terkejut apabila mendapati telah memindahkan wang kepada orang lain yang tidak dikenali.
“Ibu saya memberikan saya nombor telefon orang itu dan saya menghubungi, menghantar mesej dan WhatsApp kepadanya. Saya hendak minta balik duit itu tetapi dia macam lambat baca mesej dan telefon tak angkat,” katanya.
“Akhirnya, orang itu menghantar mesej dengan meminta saya menganggapnya sebagai sedekah sahaja wang itu buat pahala,” kata Fahada.
Selepas mendengarnya, Fahada berkata sambil menangis teresak-esak, “Bukan saya tidak mahu sedekah tetapi gaji saya tak banyak dan saya dah niat untuk memberikannya kepada ibu saya.”
Pada penghujung video, Fahada berkata ini adalah satu pengajaran yang perlu dipelajari supaya dia tidak lagi membuat kesilapan di masa hadapan.
Namun begitu, selepas video TikTok itu menjadi tular dengan ramai yang berasa simpati dengan nasibnya, pemilik akaun berkenaan yang juga seorang pemuda telah memulangkan semula wang itu kembali kepada Fahada pada keesokan harinya.
“Rasa risau juga pada mulanya kalau duit itu tidak dapat balik, tapi ini kecuaian saya sendiri dan saya tidak boleh menyalahkan dia dengan sepenuhnya,” kata Fahada kepada mStar.
Fahada juga menjelaskan salah faham dan kekeliruan orang ramai supaya tidak menyalahkan individu tersebut kerana katanya mungkin sebab dia sibuk maka mesej dan panggilannya tidak dijawab, dan mesej mengatakan meminta wang itu sebagai sedekah hanyalah sebagai gurauan daripada pemuda itu.
Kata Fahada, pemuda itu sempat menghantar mesej “jangan sedih-sedih ya..” selepas memulangkan semula kesemua wang itu ke dalam akaun Fahada. Lagipun tak baik dan tak berkat simpan duit orang lain yang bukan kita punya kan..
Dan wang gaji pertama itu telah pun selamat di ‘bank in’ ke dalam akaun sebenar dan dikongsikan bersama ibu Fahada. Syukur masalah Fahada telah selesai dan lain kali kita sentiasa berhati-hatilah ya..
Pilihan Editor: