Polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun pada 15 April kerana dengan sengaja mencederakan dirinya untuk mencetuskan kemalangan.
Lelaki itu yang dipercayai berasal dari Myanmar telah ditahan selepas rakaman kamera papan pemuka dalam kenderaan terbabit menunjukkan lelaki itu dengan sengaja melemparkan dirinya ke cermin hadapan kereta yang sedang bergerak, didakwa dalam cubaannya untuk menipu pemandu dalam insiden yang berlaku di Klang pada Khamis, 7 April.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao, sepasukan polis telah menerima maklumat berhubung suspek, yang kemudiannya ditahan dari tempat kerjanya pada jam 10 pagi di Jalan Shapadu Rantau Panjang, Klang.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu diklasifikasikan sebagai perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Klip kejadian kemalangan yang dimuat naik di media sosial berdurasi 45 saat itu telah menjadi tular sebelum tangkapan dibuat.
Dalam video berkenaan, seorang lelaki tempatan kelihatan sedang memandu dan membelok ke kiri sebuah jalan apabila seorang pejalan kaki lelaki tidak dikenali berada di tengah jalan dan tiba-tiba meluru lalu melemparkan dirinya ke arah kereta yang sedang bergerak serta melompat ke arah cermin hadapan kereta itu.

Kereta itu dilihat bergerak perlahan, tetapi cermin hadapannya retak akibat kesan perbuatan rempuhan suspek. Dia meluncur dan merebahkan dirinya ke atas jalan sebelum sekumpulan orang muncul mengelilingi pemandu.
Pemandu itu telah membuat laporan polis pada hari yang sama, dan telah memberitahu suspek dan kumpulan orang ramai supaya menunggu polis untuk menyelesaikan isu itu kerana keretanya mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) yang merakamkan kejadian.

Bagaimanapun, sebaik sahaja suspek mengetahui tentang kamera papan pemuka itu, dia terus beredar dari lokasi kemalangan dan dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan.
Seksyen 336 Kanun Keseksaan memperuntukkan lelaki itu akan berdepan hukuman penjara tiga bulan, denda RM500, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: