KUALA TERENGGANU: Disebabkan rasa bosan akibat terkurung di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, seorang warga emas mengambil inisiatif untuk menternak ikan keli di dalam kolam renang milik cucunya.

Bahari Ahmad, 64, dari Kampung Bukit Guntung, Manir berkata, dia mengambil keputusan untuk menternak ikan keli di dalam kolam renang yang dibina untuk cucunya itu memandangkan cucu-cucunya tidak pulang ke kampung ketika PKP.
Menurut Bahari Ahmad, sudah lebih 300 ekor ikan keli termasuklah ikan keli Afrika diternaknya sejak tiga tahun lalu di dalam kolam renang bersaiz 4 kaki lebar dan 22 kaki panjang itu.

Sangkanya, cucu-cucu akan marah atau merajuk kerana dia menggunakan kolam renang tersebut untuk menternak ikan keli. Namun apabila cucu-cucunya itu pulang ke kampung halaman, mereka turut seronok memberi makan ikan keli yang diternak oleh datuknya itu.
Hasil daripada ternakan ikan keli di halaman rumahnya itu, Bahari Ahmad memperoleh pendapatan lumayan. Menurutnya, dia menjual ikan keli itu pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM8 sekilogram.
Katanya lagi, menternak ikan keli tidaklah begitu sukar kerana ikan keli adalah ikan yang tahan lasak, tidak cerewet makan dan cepat membesar. Jadi, tidak hairanlah jika ikan keli yang paling besar boleh mencecah berat sehingga tujuh kilogram seekor.

“Daripada 300 ekor, sekarang cuma tinggal 40 ikan keli yang belum dijual dan semuanya bersaiz besar.” kata Bahari Ahmad.
Teruja dengan hasil yang telah diperolehinya, Bahari Ahmad turut mengajak orang ramai yang mempunyai kawasan di rumah untuk menternak ikan keli kerana ikan keli tidak memerlukan kolam yang luas selain permintaannya sangat tinggi.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: