Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan cadangan kenaikan kadar gaji minimum di seluruh negara.
Berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC pada 19 Mac, Ismail Sabri berkata Malaysia akan melaksanakan kadar gaji minimum yang baharu iaitu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022.
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan kadar gaji minimum akan dinaikkan menjelang akhir 2022 tanpa memberikan tarikh. Tambahan, pelbagai pihak telah mendesak kenaikan gaji minimum di Malaysia sejak sekian lama, terutamanya memandangkan ketidaktentuan ekonomi dan kesulitan yang dihadapi rakyat sejak permulaan pandemik COVID-19.
Perdana Menteri malah menyentuh perkara itu semasa pengumumannya dalam hantaran di laman Facebook rasmi, dengan menegaskan rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 kini tertekan akibat kenaikan kos sara hidup. Justeru, kerajaan percaya sekarang adalah masa yang sesuai untuk menaikkan kadar gaji minimum di Malaysia.
“Kos sara hidup semakin meningkat. Ini akan menekan golongan B40. Hari ini, saya mengumumkan kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022 di seluruh negara.” katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, pelaksanaan gaji minimum itu akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan syarikat mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Jelasnya, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diarah untuk berbincang bagi membolehkan syarikat dan perusahaan kecil seumpamanya menangguhkan perkara berkenaan.
“Bagi syarikat kecil, mikro dan yang berkurangan pendapatan, Menteri Sumber Manusia akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Ini termasuk koperasi kecil yang tidak mampu membayar RM1,500 sebulan, supaya kita tangguhkan pelaksanaan gaji minimum kepada syarikat kecil ini.
“Kita faham kalau ada restoran, gerai atau warung di kampung yang ada jumlah pekerja yang kecil, tidak wajar memaksa mereka. Jadi, 1 Mei ini untuk syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya,” katanya kepada Berita Harian.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: