Antara perkara yang paling tidak digemari ramai ialah beratur panjang untuk membayar sesuatu. Jika di pasar raya misalnya kita terpaksa beratur panjang di kaunter dengan segala barang yang dibeli terkadang meletihkan. Itu belum termasuk beratur di pejabat-pejabat kerajaan atau di bank yang sememangnya memakan masa yang lama.
Mujur sekarang semuanya boleh dilakukan secara dalam talian. Daripada membeli barang keperluan rumah hinggalah kepada pembayaran segala macam bil, semuanya boleh dilakukan secara atas talian, mudah dan cepat!
Namun begitu, tidak semua boleh dilakukan secara atas talian. Jadi, suka atau tidak kita perlu keluar juga untuk pelbagai urusan tertentu seperti melakukan ujian Covid-19 ataupun untuk mendapatkan vaksin.
Terpaksa beratur dan menunggu giliran untuk tujuan tersebut bukanlah masalah tetapi apa yang menjadi isu ialah apabila anda tersedar yang anda beratur di dalam barisan yang salah!
Bunyinya kedengaran lucu tetapi buat mereka yang pernah mengalami pengalaman ini pasti makan hati dibuatnya. Sama lah seperti wanita dari China ini yang telah menghabiskan dua jam lamanya untuk beratur bagi melakukan ujian swab tetapi akhirnya tersedar dia bukan berada di tempat yang betul.
Wanita ini dikatakan mahu melakukan ujian saringan Covid-19, namun tidak menyedari bahawa barisan yang disertainya ialah barisan orang ramai untuk membeli ayam panggang. Memandangkan barisan panjang tersebut berada berhampiran hospital jadi dia berfikir ia adalah barisan untuk melakukan ujian Covid-19.
Selepas hampir dua jam beratur dalam barisan, barulah dia menyedari akan kesalahannya itu. Ketika itu sudah tiba gilirannya untuk melakukan ‘ujian swab’ dan dia baru sedar bahawa dia sebenarnya beratur untuk membeli ayam panggang.
Memandangkan dia sudah letih terpaksa beratur panjang, dia akhirnya mengambil keputusan untuk membeli dua set ayam panggang tersebut dan terus pulang ke rumah.
Mengetahui akan kisah ini membuatkan ramai yang terhibur. Walaupun kasihan dengan apa yang berlaku tetapi kejadian tersebut juga merupakan sebuah pengalaman yang sangat melucukan. Bayangkan, niat di hati mahu melakukan ujian Covid-19 tetapi sebaliknya yang berlaku. Tidak pasal-pasal dia pulang ke rumah dengan ayam panggang!
Buat anda yang tidak tahu, kerajaan Parti Komunis China baru-baru ini mula melaksanakan ujian Covid-19 secara besar-besaran dan kembali mewajibkan rakyatnya untuk menjalani ujian Covid-19 di seluruh negara ekoran berlakunya peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara itu sejak kebelakangan ini.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: