Cuaca buruk dan tidak menentu selama beberapa hari ini telah menyebabkan berlaku hujan lebat, banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan, serta kejadian fenomena hujan batu.
Ada orang berkata hujan batu jarang berlaku di Malaysia dan mungkin tidak akan berlaku dengan teruk seperti di luar negara.
Pada 8 Mac lalu, seorang wanita merakamkan fenomena hujan batu yang turun di kawasan kediamannya di Cheras pada jam 4 petang.
Video perkongsian pengguna Twitter dikenali Emmil itu menunjukkan dia berjaya merakamkan detik hujan batu mula turun bersama ribut petir di Cheras.
Hujan batu berkenaan turun bersama-sama dengan hujan lebat dan menurut ciapannya, hujan batu itu cukup besar untuk menyebabkan kerosakan di sekeliling rumahnya dengan beberapa tingkap pecah dan tumbuhan kebanyakannya tumbang.
Syukurlah, keluarga Emmil dapat bergerak dengan cukup pantas untuk mengalihkan kereta mereka di beranda bagi mengelakkannya daripada mengalami kerosakan.
Seorang netizen bimbang melihat betapa besarnya hujan batu itu dan berkata ia boleh menyebabkan kecederaan.
“Dahsyatnya, terkena kepala boleh luka.”
Dan nampaknya tidak semua kawasan di Cheras yang mengalami fenomena hujan batu.
“Kita duduk di Cheras tetapi tiada hujan batu, siap boleh mandi hujan lagi.”
Ada netizen yang terkejut dengan kejadian ini dan tidak percaya kejadian ini berlaku di Malaysia.
Sementara netizen lain sudah bosan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di Malaysia.
“Amat menakutkan melihat cuaca sekarang.”
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hujan batu terbentuk apabila berlaku ribut petir yang kuat ditambah dengan hujan lebat berserta angin kencang.
Apabila awan kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer, suhu udara melepasi nilai ambang tahap beku dan membentuk ketulan-ketulan ais.
Ais yang terbentuk di dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah, yang biasanya berukuran sebesar guli, jelas METMalaysia.
Tambah METMalaysia, hujan batu adalah perkara biasa di Malaysia dan fenomena ini biasanya bersifat setempat, yang bermakna hanya kawasan di bawah awan kumulonimbus akan mengalaminya. Fenomena ini biasanya berlangsung singkat sekitar 10 hingga 20 minit.
Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times
Pilihan Editor: