31.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024
UtamaBerita Utama18 penuntut UPNM didapati bersalah sebabkan kematian Zulfarhan Osman

18 penuntut UPNM didapati bersalah sebabkan kematian Zulfarhan Osman

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan 18 orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Keputusan itu dibacakan oleh hakim, Datuk Azman Abdullah pada 2 November lalu, di mana 6 tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa tanpa niat membunuh.

Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika bersalah.

“Dengan ini kamu berenam dengan niat bersama dan dengan persubahatan tertuduh keenam (Abdoul Hakeem) didapati bersalah di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada si mati (Zulfarhan Osman) tanpa niat membunuh”, ujar beliau.

Enam yang dimaksudkan adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Difahamkan 5 daripada mereka (kecuali Mohamad Shobirin) bersama 12 lagi juga disabitkan pertuduhan menyebabkan kecederaan pada mangsa di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana memeras pengakuan bersalah atau memaksa harta dipulangkan.

12 lagi tertuduh Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Sebanyak 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad serta 2 saksi (Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah) melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Perbuatan berkenaan dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4:45 hingga 5:45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun yang sama dan membawa hukuman serupa.

Mereka bersama 12 lagi pelajar yang disebutkan nama di atas juga diperintahkan untuk membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa bagi mendapatkan pengakuan bahawa mangsa telah mencuri komputer riba.

Pemerasan bagi mendapatkan pengakuan itu dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti terbabit yang terletak di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2:30 hingga 5:30 pagi pada 21 Mei 2017.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI