VENEZUELA – Seorang ibu sanggup mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan anak-anak setelah kapal yang dinaiki ketika menyertai percutian bersama keluarga karam.

Mariely Chacon, 40 tahun dilaporkan sedang berlayar di Lautan Atlantik bersama suami; Remis Clambor, dua anak mereka yang masih kecil, pengasuh; Veronica Martinez, rakan-rakan serta kru kapal. Bagaimanapun, kapal yang dinaiki keluarga ini telah karam akibat dibadai ombak.
Insiden ini menyebabkan Chacon dan dua anaknya yang berusia dua dan enam tahun dihanyutkan ombak sejauh 70 batu ke tengah laut. Menurut laporan, bagi meneruskan hidup tanpa makanan dan minuman, Chacon sanggup mengorbankan dirinya dengan meminum air kencingnya sendiri bagi membolehkan dia menghasilkan susu buat kedua anak tersayang.

Pengasuh juga dilaporkan terselamat dalam insiden berkenaan dan difahamkan bersembunyi di dalam sebuah peti ais. Mangsa bagaimanapun hanya berjaya ditemui oleh pihak berkuasa setelah empat hari terdampar di tengah laut. Akan tetapi, ketika ditemui, Chacon telah pun meninggal dunia.
Berdasarkan laporan bedah siasat yang dilaporkan oleh akhbar La Republica, punca kematian Chacon adalah disebabkan oleh kegagalan organ penting yang disebabkan oleh kekurangan elektrolit akibat dehidrasi. Tambahan pula, proses penyusuan yang dilakukan oleh Chacon pada ketika itu turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kematiannya.
Jelas akhbar tersebut, percutian berkenaan adalah sekadar untuk berseronok dan menghiburkan anak-anak. Sehingga kini, lima individu di atas kapal berkenaan termasuk suami Chacon masih belum ditemui manakala anak-anak dan pengasuhnya sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Kejadian ini turut disahkan oleh pihak berkuasa maritim Venezuela, Venezuela’s National Maritime Authority (INEA).
“Ibu yang meninggal dunia itu menyelamatkan anak-anaknya dengan menyusukan mereka dan meminum air kencingnya sendiri. Dia meninggal tiga atau empat jam sebelum operasi menyelamat. Kematiannya adalah disebabkan dehidrasi susulan tidak meminum air selama tiga hari,” kata pegawai INEA.