Seorang pelajar berusia 11 tahun, Maryam Muzamir telah memenangi anugerah pada 6th International Invention Innovation Competition (iCAN 2021) di Toronto, Kanada.
Ini berikutan ciptaan makanan ternakan yang diberi nama ‘YAM 2.0’ oleh Maryam yang dihasilkan daripada kulit udang dan juga siput sedut.
Menurut laporan, pelajar SK (P) Methodist Kuantan itu telah pun memenangi pelbagai anugerah diperingkat tempatan atas ciptaannya itu.
Walau bagaimanapun, bapanya berperanan sebagai pendorong agar Maryam membawa ciptaan itu ke peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, Maryam telah berjaya membawa pulang pingat emas untuk kategori Anugerah Khas Kanada dan juga Anugerah Pencipta Muda Terbaik di iCAN 2021.
Maryam menewaskan lebih 600 peserta dari 70 negara bertanding untuk merebut gelaran itu dan merupakan pemenang termuda untuk pertandingan ini.
Pelajar tahun 5 itu mendapat idea atas ciptaannya apabila dia sering melihat sisa buangan cangkerang siput sedut dan juga kulit udang ketika makan di restoran makanan laut di Kuantan.
Daripada situ, Maryam berhasrat untuk mengatasi masalah sisa buangan itu dan segera mengumpul, membersih dan mengisar cangkerang siput sedut dan kulit udang.
Tambah bapanya, Dr Muzamir Hasan, pemilihan nama ‘YAM’ itu adalah daripada ‘yummy’ (sedap) yang cenderung dikaitkan dengan apa yang disebut kanak-kanak.
“Saya membaca artikel mengenai sisa makanan dan kerang yang mengandung ‘kitin’ – bahan kimia penting untuk pengeluaran makanan haiwan”, kata Maryam.
“Oleh itu, saya berfikir mengapa saya tidak mencuba dan melihat sama ada ianya dapat berfungsi sebagai makanan ternakan alternatif”.
Penciptaannya itu dapat mengatasi masalah sumber makanan ternakan haiwan daripada jagung yang ternyata jauh lebih mahal.
“Berdasarkan pemerhatian kami, kos menghasilkan YAM 2.0 jauh lebih rendah berbanding produk makanan haiwan konvensional”, jelas bapa Maryam.
Malah ia juga dapat diberikan kepada ayam, kambing, ikan dan juga khinzir. “Oleh kerana produk ini menjimatkan kos, ia mampu mengawal kos pengeluaran di rantaian bekalan”.
“Jadi YAM 2.0 adalah penyelesaian yang berpatutuan dan berkualiti tinggi. Kami tidak mahu Maryam berhenti berusaha”, ujar bapanya lagi.
Muzamir turut mendedahkan bahawa langkah selanjutnya mungkin adalah untuk Maryam mendapatkan geran penyelidikan untuk mengkomersialkan produk berkenaan.