Sesungguhnya pasukan ‘frontliner’ dengan setiap petugas yang terlibat layak mendapat pengiktirafan dunia dan pengorbanan mereka terlalu besar.
Kita pasti tidak akan dapat bertahan melalui pandemik ini tanpa bantuan dan kegigihan mereka yang berani serta tidak pernah mementingkan diri.
Baru-baru ini, tiga petugas kesihatan KKM daerah Seremban diuji ketahanan mental dan fizikal apabila mereka terpaksa berjalan hampir satu jam dengan mengusung keranda mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia.
Pasukan ini menguruskan pengebumian mangsa dijangkiti virus itu yang merupakan Orang Asli dari Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng.
Salah seorang antara mereka, Mohd Adree, 37 tahun berkata ini adalah pengalaman pertamanya bersama rakan setugas melakukan urusan pengebumian terlebih mencabar sepanjang pengalaman menguruskan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19.
Amat menyentuh hati apabila melihat mereka terpaksa mengusung keranda dengan melalui laluan denai berbukit yang jauhnya hampir satu kilometer, menurut Bernama.
“Berjalan dengan pakaian PPE melalui laluan berbukit telah menyukarkan perjalanan kami. Dalam cuaca panas, kami juga perlu mengawal pernafasan agar tidak terlalu letih semasa membawa keranda,” jelasnya.
“Kami perlu berhenti untuk berehat sebentar, sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pengebumian,” kata Mohd Adree kepada Bernama.
Mohd Adree menambahkan sebagai petugas barisan hadapan, penting untuk mereka bersikap fleksibel secara fizikal dan mental juga sentiasa bersedia kerana kemungkinan terdapat perkara di luar jangkaan ketika menguruskan jenazah seseorang semasa pengebumian.
“Kami bersedia setiap masa apabila dipanggil menguruskan jenazah COVID-19, jadi kesihatan diri, kecergasan fizikal dan mental memainkan peranan penting, kerana kami tidak boleh jangka bagaimana situasi dalam menguruskan sesuatu jenazah,” katanya.
Sebagai pegawai perubatan yang telah berpengalaman menguruskan jenazah mangsa COVID-19 selama lebih satu tahun, Mohd Adree dan pasukannya tidak pernah menganggap tugas ini sebagai bebanan. Sebaliknya, sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Betapa besarnya pengorbanan para ‘frontliner’, yang tidak patut kita memperlekehkan apabila mereka merayu supaya kita kekal duduk di rumah apabila tiada urusan penting di luar dan sentiasa mematuhi SOP demi mencapai kejayaan mengekang pandemik COVID-19.