Sebut sahaja band Spider, tentunya lagu Relaku Pujuk akan terngiang-ngiang di dalam fikiran bukan? Mana tidaknya, ia pernah menjadi fenomena apabila dinobatkan sebagai Juara Lagu suatu ketika dahulu.
Pada awal pagi tadi, lebih kurang jam 2:30 pagi dilaporkan bahawa bekas pemain bassnya, Tony Iskandar telah meninggal dunia.
Tony difahamkan telah menghembuskan nafas terakhir ketika berada studio rakaman di Sungai Buloh, milik Datuk M. Nasir.
Khabar duka itu turut dikongsikan oleh pemain gitar kumpulan Exist, Along di akaun Instagram miliknya. “Pergi lagi seorang sahabat aku”.
alongexists/Instagram
“Al-fatihah buat mu Tony. Semoga Allah SWT tempatkan mu di kalangan orang beriman. Amin”, tulisnya menerusi hantaran berkenaan.
Spider yang merupakan hasil didikan dan asuhan sifu M Nasir, merupakan band popular yang dianggotai oleh Tam (vokalis), Nafie (gitar utama), Aie (pemain dram), selain Tony.
Selain Relaku Pujuk, Kasih Latifah, Laukku Cukup Masin dan Nazraku merupakan antara lagu yang masih diingati oleh peminat band ini.