Di sebuah sekolah yang terletak di pinggir bandar Tokyo, juadah untuk makan tengah hari disediakan oleh para pelajarnya sendiri, suatu tradisi mempelajari pengalaman hidup sejak 100 tahun lalu.
Jiyu Gakuen adalah sekolah unik di Tokyo, Jepun yang menekankan ‘belajar melalui kehidupan seharian’. Sekolah ini mempunyai kira-kira 800 pelajar bermula peringkat tadika sehingga menengah tinggi.
Sudah menjadi tradisi buat semua pelajar yang memasuki sekolah ini untuk menyediakan makan tengah hari di sini sejak diasaskan pada tahun 1921.
Setiap hari, pelajar sekolah menengah rendah dan menengah tinggi mesti menyediakan makan tengah hari sekolah itu sendiri tanpa bantuan pekerja dewan makan.
Menerusi video yang dipaparkan, 20 pelajar perempuan menengah tinggi ditugaskan untuk menyediakan 280 hidangan makan tengah hari dalam masa 2 jam.
Seorang ketua pasukan dapur sekolah dipilih, yang tugasnya adalah mesti merancang menu, jadual memasak dan juga memberi arahan kepada pelajar bertugas yang lain.
Dengan tujuan menyajikan makanan yang enak dan berkhasiat, para pelajar diberikan tugas untuk mempelajari makna bekerja keras dan berhadapan dengan rintangan dan cabaran bersama. Yang bermakna secara tidak langsung mereka memperolehi pelajaran berharga dan amat berguna untuk dipraktikkan di dalam kehidupan.
Untuk menyediakan makan tengah hari, bahan-bahan yang digunakan untuk hidangan itu ditanam sendiri oleh para pelajar di kebun sekolah.
Pelajar mempelajari dan mengalami sendiri keseluruhan proses menanam, menternak, memasak dan memakan hasil yang diusahakan oleh mereka.
Mereka mempelajari asas seni kulinari dan kemahiran memasak serta mendapat pengetahuan yang penting iaitu kemahiran baru dalam kehidupan.
Setiap pasukan yang menyediakan makan tengah hari wajib bekerjasama dengan ketua pasukan untuk melaksanakan misi memasak dengan jayanya.
Mereka mengatur jadual memasak, mengira kalori dan kos keseluruhan makanan yang disediakan.
Hari memasak bermula jam 10.40 pagi.
Mereka mengatur perbincangan dan agihan tugas masing-masing untuk menyelesaikan tugas yang diberi dengan sempurna..
Para cef pelajar mempunyai masa 2 jam untuk membuat 300 hidangan makanan tengah hari.
Makan tengah hari bermula jam 12.47 yang mana telah lewat 7 minit, pada hari itu.
Tetapi tidak mengapa kerana hasil hidangannya tetap terbaik, sempurna dan memuaskan yang boleh diterima oleh semua pelajar.
Tugas mereka termasuk mengitar semula sisa makanan dan membersihkan dewan makan selepas itu.
Pasukan memasak hanya dapat menikmati waktu makan mereka sendiri ketika semua tugas penting telah selesai.
“Apabila anda berperanan sebagai ketua atau pemimpin, anda akan dapat mempelajari banyak benda dan mereka yang lain di bawah anda akan membantu,” kata guru penasihat mereka.
“Dengan tugas memasak, anda belajar untuk mengambil berat tentang orang lain,” tambahnya.
Menjalin hubungan erat dengan rakan sebaya dan memahami kitaran hidup sumber makanan yang anda makan, maka pelajar memperolehi pembelajaran serta pemahaman berguna mengenai tanggungjawab, tempat dan peranan mereka dalam masyarakat.
Itulah salah satu contoh makna kehidupan sebenar yang perlu dipraktikkan untuk menjadi manusia berguna dan bertanggungjawab dalam apa juga bidang yang akan mereka ceburi kelak.
Yang sepatutnya bermula daripada didikan ibu bapa dan seterusnya di sekolah sejak kita kecil lagi untuk menjadikan satu perkara baik itu sebagai sesuatu yang normal juga tidak pula menghairankan atau menjadi kemegahan.
Tonton video di sini.