Sejak sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan lebih setahun lalu, maka ramailah para guru yang mencipta cara dan kreativiti mereka yang tersendiri untuk mengajar para pelajar. Asalkan para pelajar lebih memahami sesuatu topik.
Salah seorangnya adalah guru ekonomi ini yang cara pembelajarannya dalam salah satu sesi PdPR telah menarik perhatian warganet di media sosial, dengan aksi bersahajanya ketika mengajar yang dirakam di TikTok telah meraih 1 juta tontonan.
Ramai yang kagum melihat kegigihan Cikgu Abidin, guru subjek Ekonomi Tingkatan Enam dari sebuah sekolah menengah di Sandakan, Sabah ini ketika mengajar para pelajarnya.
Cikgu Abidin begitu komited dalam menyediakan kaedah pembelajaran yang mudah difahami oleh para pelajarnya walaupun dengan terpaksa melakar graf dan penerangannya di atas lantai mozek putih sambil menggunakan pen marker yang selalu digunakan di atas papan putih.
Aksi Cikgu Abidin ketika sedang tekun mengajar itu telah dirakam senyap-senyap oleh anak perempuannya, Aina Abidin.
Kapsyennya di TikTok, “Struggle untuk students supaya lebih memahami. Good luck all students.” Yang telah menyebabkan video itu terus tular dengan pujian warganet.
Menurut Aina kepada mStar, keluarganya tidak menyangka yang video gelagat bapanya sedang mengajar boleh menjadi tular kerana dia hanya memuat naiknya secara suka-suka.
Sehinggakan katanya dalam ramai-ramai yang memberi komen positif dan pujian itu, ada pula kalangan mereka yang mencadangkan untuk memberi sedekah papan putih, yang dianggap mereka agak melucukan.
“Bukannya tak ada papan tulis, cuma ayah lebih selesa conteng lantai mozek sebab katanya mahu memudahkan kerja dan caranya lebih selesa,” kata Aina.
Apa-apa pun, janji boleh buat Cikgu Abidin berasa selesa dan semua pelajar boleh faham dengan ilmu yang disampaikannya. Semoga Cikgu Abidin sentiasa sihat dan terus cemerlang menabur bakti untuk masa depan anak Malaysia.
Tonton video di sini.