TERENGGANU – Isu penjualan telur penyu sepertinya masih tiada titik akhirnya. Baru-baru ini muncul pula satu berita mengenai sindiket haram yang menjual telur penyu melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.
Salah seorang penjual tersebut mengatakan bahawa telur penyu yang dijual adalah berasal dari Pulau Perhentian, yang merupakan taman laut yang telah diwartakan kerajaan.
Jadi, sebenarnya aktiviti mengumpul dan menjual sebarang sumber laut yang tedapat di kawasan tersebut adalah sesuatu yang haram dan salah di sisi undang-undang.
Tahun lalu, Jabatan Perikanan ada mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa setiap negeri di Malaysia telah melarang penjualan setiap spesies penyu dan telur penyu kecuali untuk Terengganu yang hanya melarang penjualan penyu belimbing.
Mereka meminta semua pihak yang menguruskan laman web penjualan produk dalam talian untuk bersama-sama membantu Jabatan Perikanan dalam mencegah sebarang bentuk penjualan haiwan laut yang terancam termasuk telur haiwan.
Badan NGO, Kapas Conservation Society pula ada menyarankan supaya pihak berkuasa mengenakan larangan menjual semua telur penyu di Terengganu pada akhir tahun ini.
Setiausahanya, Farith Rezza Isa menambah bahawa Enakmen Penyu Terengganu tidak melarang penjualan telur penyu Hijau tetapi pengambilan telur-telur ini dari pulau-pulau terlindung adalah sebuah ancaman kepada kelangsungan hidup penyu.
Tambahan lagi, aktiviti ini akan memberi kesan negatif pada masa hadapan memandangkan populasi spesies ini semakin berkurangan.