KUALA LUMPUR – Siapa sahaja tidak kenal dengan figura skuasy yang menjadi inspirasi ramai, Nicol Ann David. Kehebatannya dalam sukan skuasy memang tidak boleh dinafikan lagi dan kini kisah hidup beliau dikhabarkan bakal difilemkan.
Nicol, 37, memberitahu mengenai khabar gembira tersebut melalui hantaran Instagram miliknya dengan mengatakan bahawa filem biopiknya, “I AM NICOL DAVID” kini sedang dalam produksi.
“Saya amat teruja dan bangga memaklumkan mengenai perancangan pembikinan filem ini.
“Menjadi impian saya yang satu hari nanti, saya dapat berkongsi kisah saya untuk memberi inspirasi kepada orang ramai supaya bekerja keras demi menggapai impian dan terus mencabar diri meraih kejayaan besar dalam hidup,” kongsinya dalam laman Instagram dan Twitter.
Filem biopik berjudul ‘I AM Nicol David’ akan diterbitkan produksi filem tempatan, ACE Pictures Entertainment.
“Saya sangat bersyukur dapat peluang untuk bekerjasama dengan Ace Pictures yang berkongsi minat ini dengan saya dan tidak sabar untuk memulakan projek ini.
“Filem ini akan menjadi satu perjalanan yang panjang dan saya amat teruja dengan sokongan anda semua merealisasikan hal ini,” katanya lagi.
Nicol pernah memegang rekod nombor satu selama 108 bulan berturut-turut dan kedudukan 10 teratas selama 151 bulan. Beliau juga pernah memenangi 81 gelaran Juara Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) dalam kerjaya profesionalnya sebagai pemain skuasy.
Pada tahun 2019 Nicol David mengumumkan persaraan selepas selama hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang sukan tersebut.