Amat menggembirakan ketika The Big Cat Sanctuary menyambut kelahiran baru terpenting untuk spesies haiwan hampir terancam jaguar yang diharapkan dapat menyambung kelangsungan generasi haiwan berkenaan daripada terus mengalami kepupusan.
The Big Cat Sanctuary di Kent, England telah mengumumkan kelahiran anak jaguar betina yang dipanggil ‘Baby’ sehingga dia dinamakan secara rasmi kelak, yang berwarna hitam agak unik daripada corak bintik biasa, sehingga mengejutkan warga The Big Cat Sanctuary sendiri.
Anak jaguar belum diberi nama secara rasmi itu dilahirkan oleh ibunya, seekor jaguar bernama Keira, yang dilahirkan di Paradise Wildlife Park, sebuah taman hidupan liar di United Kingdom pada tahun 2017.
Pada tahun 2019, Keira dibawa ke The Big Cat Sanctuary untuk mengambil bahagian dalam projek pemuliharaan jaguar, ‘Program Biak Baka Spesies Terancam Eropah’ yang berpasangan dengan jaguar berwarna hitam bernama Neron.
Pasangan jaguar ini akhirnya berjaya melahirkan anak perempuan mereka ‘Baby’ yang cantik, sihat dan unik pada 6 April 2021.
Bapa ‘Baby’, Neron yang sangat gagah, hitam dan kacak, terlalu mendominasi rupa anak perempuannya. Dilaporkan bahawa rata-rata spesies jaguar (Panthera onca) memiliki tanda bintik yang jelas 90%, dan hanya 10% jaguar yang mempunyai gen berbulu hitam, tetapi kelahiran anak jaguar betina amat comel ini lebih jarang berlaku kerana rupanya yang hitam asli.
Kelahiran ‘Baby’ menandakan program pembiakan ini begitu penting dan berjaya untuk pemuliharaan spesies haiwan yang hampir terancam.
Satu kejayaan besar dalam pembiakan jaguar, kerana jaguar pada ketika ini merupakan spesies ‘hampir terancam’ dalam habitat liarnya, yang sedang mengalami kepupusan dalam masa terdekat.
Oleh itu, generasi berikutnya Keira dan Neron memainkan peranan yang amat penting dalam program pemuliharaan spesies jaguar yang semakin pupus.
Sejak Keira disahkan bunting, kakitangan The Big Cat Sanctuary telah memasang kamera pengawasan untuk memerhatikan kelahiran ‘Baby’.
Melalui skrin pemantauan, kakitangan dengan konsisten memperhatikan status penjagaan anak Keira. ‘Baby’ baru berusia hampir 2 bulan, tetapi dia membesar dengan cepat.
‘Baby’ membuka matanya sebaik sahaja dilahirkan, dan dia sudah mampu berjalan dengan baik ketika berusia 2 minggu. ‘Baby’ sangat stabil dan lincah. ‘Baby’ bukan sahaja sihat, tetapi juga sangat aktif dengan sifatnya yang sentiasa ingin tahu. The Big Cat Sanctuary terus menantikan perkembangan dan tumbesaran ‘Baby’.
Menurut Wildlife Day, jaguar dalam hidupan liar wujud di 18 negara di dunia seperti terdapat di benua Amerika terutama di Mexico dan Argentina.
Di Amerika Syarikat, walaupun jaguar jarang ditemui, bukti pembiakan spesies hampir terancam ini di negara itu tidak berlaku selama 50 tahun dan ia telah dilaporkan pupus di hidupan liar sejak awal tahun 1900-an.
Pada tahun 1960-an dan 1970-an, jaguar diburu dalam jumlah yang besar untuk bulu mereka yang cantik, dan ‘Convention on the International Trade in Endangered Species’ (CITES) pada tahun 1973 telah sepakat untuk menghentikan perdagangan bulu jaguar menurut peruntukan undang-undang.
Secara beransur-ansur bilangan jaguar yang masih wujud di dunia semakin menurun, dengan kira-kira 18,000 jaguar masih diburu dan dibunuh setiap tahun, satu keadaan yang agak memilukan.
Status jaguar masih tidak menentu, terutamanya kerana ketika haiwan ini berdepan konflik dengan manusia. Oleh itu, jaguar terus berada dalam Senarai Merah IUCN (International Union for the Conservation of Nature).
Diharapkan jaguar yang disenaraikan sebagai ‘Near Threatened’ (NT), dapat ditingkatkan kepada ‘Vulnerable’ (VU) pada tahun 2022.
Tonton video di sini.