Ketika melalui waktu paling sukar seperti hari ini, adalah lebih baik untuk kita saling membantu dengan harapan mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat meringankan beban orang lain.
Seorang lelaki baik hati dari Selangor berkongsi bagaimana beliau berusaha untuk membantu seorang bapa setelah melihat lelaki berkenaan sedang bergelut untuk membeli barangan keperluan untuk anak kecilnya ketika mereka berada di sebuah kedai barangan kelengkapan bayi di Bangi.
Berkongsi cerita di laman Facebook, Armel Iman Darwisyah pada mulanya memerhatikan bapa ini seperti sedang berada dalam kesulitan kerana dia dilihat berkali-kali berjalan mengelilingi kedai itu untuk mencari barangan yang ingin dibelinya.
Bapa ini seolah-olah mencari sesuatu tetapi tidak pula mengambil barangan itu.
“Saya melihat dari jauh … Dan dia seperti tidak dapat mencari apa yang sedang dicarinya,” tulis Armel.
“Ketika kebetulan dia berdiri di sebelah saya sambil melihat-lihat sekeliling, saya segera bertanya apa masalahnya,” Armel menjelaskan situasi itu.
Lelaki itu hanya memberitahu Armel yang dia tidak dapat mencari barang keperluan bayi yang dia perlukan.
Armel mencadangkan agar bapa ini meminta pertolongan pembantu kedai, dan katanya dia sudah melakukannya tetapi perlu melihat-lihat sekali lagi.
Tidak berpuas hati dengan jawapannya, Armel meneruskan urusan membeli-belah dengan mengambil empat bungkus lampin pakai buang untuk anak-anaknya.
Kemudian, bapa dua anak ini terdengar pertanyaan lelaki itu kepada pembantu kedai mengenai barangan keperluan bayi yang sedang dicarinya.
“Dik, dekat sini barang bayi murah-murah ada tak? Susu paling murah, pampers paling murah?”
Lelaki itu terus memberitahu pembantu kedai, “Saya hanya mencari yang murah-murah je. Sekarang musim-musim PKP kerja tak banyak.”
Setelah mendengar perbualan yang menyedihkan itu, Armel berkata dia bernasib baik kerana lelaki itu betul-betul berada di barisan kaunter bayaran di belakangnya.
“Saya lihat dia beli pampers paling kecil, dan satu tin susu bayi paling kecil dan paling murah. Dalam hati, saya tahu itu adalah untuk anaknya, dan saya berasa sangat kasihan kepadanya,” tulis Armel.
Ketika tiba gilirannya untuk membayar, Armel berbisik kepada juruwang yang dia mahu bayarkan sekali barangan untuk pelanggan di belakangnya.
“Dik, tolong kirakan sekali barang-barang abang dekat belakang tu. Nanti setiap barang dia, adik bagi tiga yang dia ambil – pampers 3, susu 3..” minta Armel.
Ketika Armel selesai membayar dan bergerak ke keretanya, terdengar juruwang memberitahu bapa itu yang semuanya sudah dibayar dan dia diminta mengambil tambahan barangan yang telah dibayar itu.
Armel kemudian menuju ke keretanya untuk memasukkan semua barang-barangnya, tetapi dengan pantas telah ditahan oleh bapa itu yang keluar dari kedai.
“Ya Allah, abang, mengapa bayarkan semua? Saya masih mampu beli bekalan untuk anak-anak saya. Abang tidak perlu bayarkan untuk saya,” katanya yang jadi segan dan malu.
Walau bagaimanapun dia menambah, “Terima kasih banyak, abang. Semoga Allah murahkan rezeki abang. Dan saya dokan abang dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat.”
Armel kemudian meyakinkannya bahawa itu hanya sumbangan kecil dan dia ingin berkongsi rezekinya.
Armel tidak menyangka hantarannya di Facebook telah mendapat perhatian warganet dan menjadi tular.
“Itu hanya perkongsian yang jujur dari hati saya. Ceritanya telah membuat hati saya menjadi sebak. Setelah mendengarnya, mengapa tidak untuk saya membantunya? Rasa kejam jika saya hanya membiarkannya,” katanya kepada media.
“Saya juga seorang ayah, jadi saya berasa bertanggungjawab. Saya tahu dia melalui masa yang sukar kerana saya juga sedang melalui masa sukar,” kata Armel.
Tambah Armel lagi, kita perlu saling membantu orang lain dengan semampu yang boleh, kerana walaupun kita mungkin melalui waktu-waktu yang sukar, masih ramai orang lain yang mengalami waktu sukar yang lebih buruk daripada kita.