Baru-baru ini tular satu video menunjukkan orang ramai berebut nombor giliran di sebuah pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan di Kuala Lumpur, tanpa menjaga jarak fizikal.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah, video terbabit dikongsikan di laman Facebook menunjukkan orang ramai berasak-asak.
Mereka juga didapati tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengerumuni pintu pagar.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku pada 31 Mei, iaitu sehari sebelum PKP penuh dilaksanakan. Orang ramai dikatakan berebut untuk memasuki premis JPJ untuk berurusan di kaunter.
Dalam pada itu, hanya 50 nombor giliran sahaja dibuka pada sesi sebelah petang, membuatkan mereka berebut-rebut untuk mendapatkan nombor giliran.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan kehadiran orang ramai untuk menjelaskan saman tertunggak yang diberi diskaun sehingga 70% oleh pihak JPJ”, katanya.
Ujarnya lagi, tarikh akhir diskaun saman tersebut adalah 11 Jun namun disebabkan pelaksanaan PKP penuh keesokan harinya, maka mereka bertindak menyerbu kaunter JPJ di saat akhir.
“Pihak Keselamatan JPJ Wangsa Maju kemudiannya menghubungi pihak polis untuk bantuan selepas keadaan tidak terkawal”.
Sehubungan itu, pasukan pemantau IPD Wangsa Maju telah hadir ke lokasi kejadian dan orang ramai terus bersurai bagi mengelakkan diri dikenakan dikompaun.