KOTA BHARU: Beberapa buah kenderaan rosak dipercayai akibat letupan mercun dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh.
Kejadian tersebut juga telah mengakibatkan seorang lelaki maut dengan anggota badan hancur selepas kenderaan yang dipandunya meletup dipercayai akibat membawa mercun bola.

Dalam kejadian itu jam 5.30 petang, mangsa yang memandu kereta Proton Iswara Aeroback dikatakan turut tercampak kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian selain kenderaannya terputus dua.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata susulan kejadian itu lima lagi kenderaan yang berada di lokasi kejadian turut terbakar.
“Selain mangsa yang maut, empat mangsa lain yang cedera akibat letupan itu turut dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan letupan terbabit berpunca akibat kenderaan itu membawa mercun bola.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan dan identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti. Polis meminta orang ramai yang melihat kejadian tampil menyalurkan maklumat dan membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kelantan, Mohd Wildan Azhari pula berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 5.34 petang dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

“Seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong bergegas ke lokasi kejadian dan didapati sebuah kereta sedang terbakar.
“Ketika kejadian terdapat lima lagi kenderaan lain di lokasi berhampiran yang turut rosak,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42, berkata dia terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti bom, namun sebaik berlari keluar dari restoran dia melihat beberapa kereta ‘berselerakan’ dengan sebuah daripadanya sedang terbakar.
Katanya, dia yang berada di dapur restoran miliknya yang hanya berjarak 40 meter dari lokasi kejadian terus bergegas keluar dan terkedu melihat apa yang berlaku selain keadaan sedikit huru hara dengan orang ramai yang berlari menyelamatkan diri.

“Saya terdengar suara meminta tolong daripada beberapa mangsa lain yang terselamat, malah ada yang gigih berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berdarah. Kami cuba untuk membantu namun keadaan agak teruk sehinggalah pihak bomba datang dan memberitahu bahawa seorang lelaki maut yang mana keadaan jasadnya yang tragik.
“Lebih mengejutkan apabila jasad mangsa rupa-rupanya tercampak ke dinding restoran saya, mungkin kerana kesan letupan yang kuat,” katanya ketika ditemui di restoran miliknya berdekatan lokasi kejadian.