BEIJING- Sebahagian serpihan roket angkasa milik China yang dilancarkan untuk menuju ke stesen angkasa Tianhe dilaporkan telah jatuh semula ke Bumi. Apa yang membimbangkan serpihan tersebut boleh jatuh di mana-mana memandangkan ianya sudah berada di luar kawalan.
Roket Long March 5B yang berketinggian 30 meter tinggi dikatakan telah berlepas dari Wenchang, Hainan pada 29 April lalu sebelum memasuki orbit rendah Bumi.
Walau bagaimanapun masalah bermula terjadi apabila ia memasuki ruang orbit sementara Bumi dan hilang kawalan. Sebilangan pakar berpendapat bahawa terdapat kemungkinan roket tersebut akan jatuh semula ke kawasan yang berpenghuni di Bumi.
“Ini adalah sesuatu yang sangat tidak bagus. Kali terakhir mereka melancarkan Long March 5B sebelum ini, tragedi buruk turut sama berlaku apabila sebatang batang besi bersaiz panjang dan besar dilapor berterbangan di udara sebelum terhempas ke Ivory Coast hingga memusnahkan sebilangan bangunan di sana.
“Kebanyakan bangunan di sana musnah terbakar. Ada juga kepingan-kepingan logam yang bertaburan di atas tanah. Mujur tiada sesiapa menjadi mangsa ketika itu,” kata ahli astrofizik di Pusat Astrofizik Universiti Harvard, Jonathan McDowell.
Kejadian serpihan badan roket yang terhempas dari angkasa ke Bumi adalah hal yang biasa berlaku ketika pelancaran roket dilaksanakan, namun kali ini mungkin di luar jangkaan kerana ia berlaku kerana ia melibatkan serpihan yang tidak lagi berada di bawah kawalan pakar.
Serpihan tersebut dijangka terhempas di Lautan Pasifik pada Sabtu ini.
US Space Command dilaporkan boleh mengesan serpihan-serpihan Long March 5B di udara, di mana ia bakal menjadi serpihan dari angkasa yang paling besar yang pernah terhempas ke bumi setakat ini.
Dalam masa sama, Aerospace Corp meramalkan bahawa serpihan tersebut bakal terhempas di sekitar Lautan Pasifik berhampiran beberapa negeri di Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun AS menyatakan bahawa lokasi dan waktu sebenar serpihan itu tiba tidak dapat dijangka dengan tepat.