KUALA LUMPUR – Ekoran sebuah video yang mempromosikan judi yang tular baru-baru ini akhirnya telah membawa kepada penahanan lima orang lelaki dan tiga orang wanita yang disyaki terlibat dalam penggambaran video tersebut. Video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian telah tular di media sosial sejak semalam dan membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah dalam penggambaran video berkenaan.
Kesemua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan.
Beliau berkata kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sehingga kini, polis telah menerima 38 laporan berhubung perkara itu.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada polis.
Sementara itu mengulas berkenaan penyebaran sebuah lagi video yang turut mempromosikan perjudian dalam talian yang tular hari ini, Acryl Sani berkata pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara itu.
Difahamkan hari ini tular di media sosial sebuah lagi video mempromosikan perjudian dalam talian dengan bertemakan perayaan Aidilfitri.
Walau bagaimanapun masih belum ada laporan berkenaan video tersebut dibuat namun beliau mengarahkan agar satu laporan polis dibuat supaya siasatan lanjut boleh dijalankan.