Seekor kucing dari Jepun pada 13 April lalu telah ‘dilantik’ menjadi ketua bahagian polis untuk satu hari berikutan jasanya yang menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang terjatuh ke dalam saluran air di Bandar Toyama, Jepun.
Kucing berkenaan, yang dipanggil Koko-chan, pada waktu kejadian telah memberikan petunjuk kepada pemiliknya tentang lelaki yang terjatuh itu, dan seterusnya berjaya menyelamatkan nyawa lelaki malang berkenaan.
Menurut laporan berita Jepun NHK, Koko telah dianugerahkan dengan sijil yang melantiknya menjadi Ketua Polis untuk satu hari dalam sebuah majlis yang sederhana.
Lihatlah sijil yang diterima oleh Koko ini, ianya lengkap dengan ‘tanda tangan’ Koko yang comel itu!
Selepas menerima watikah pelantikan, Koko seterusnya menghabiskan masa seharian di Jabatan Keselamatan Trafik dan turut menghadiri persembahan tentang undang-undang keselamatan trafik dengan sekumpulan pelajar sekolah rendah.
Bagi melengkapkan lagi upacara dan jawatannya pada hari tersebut, Koko juga telah dipakaikan pakaian seragam polis, lengkap dengan topi yang comel di atas kepalanya!
Bagaimanapun, melihat kepada beberapa gambar Koko dengan pakaian seragam polisnya, nampaknya Koko seperti tidak berpuas hati dan langsung tidak hairan dengan anugerah yang diterimanya.
Wajahnya jelas menggambarkan keletihan dan berhasrat agar semua ini cepat berlalu!
Lucu betul!
Apa-apapun, tahniah diucapkan kepada Koko atas jasanya yang menyelamatkan nyawa manusia. Walaupun Koko kelihatan seperti tidak rela menghadiri dan menerima jawatan yang diberikan, tetapi tidak mengapalah, kerana Koko sangat comel, pasti semua orang akan memaafkannya!