Latihan ‘spinning’ ataupun kayuhan di dalam rumah merupakan salah satu senaman yang mudah dan ringkas.
Sungguhpun begitu, dalam keterujaan kita untuk kekal cergas, latihan atau senaman perlulah dilakukan secara bersederhana.
Baru-baru ini, seorang wanita bernama Atrina Lau berkongsi keadaan tubuhnya sejurus sahaja selesai melakukan latihan itu, di mana kakinya kejang dan tidak dapat berjalan dengan baik.
Dia walau bagaimanapun beranggapan bahawa ia adalah kesan sakit otot yang biasa apabila seseorang itu sudah lama tidak bersenam.
Kesakitan itu nampaknya berlanjutan sehingga 3 hari berikutnya dan Atrina langsung tidak boleh bercangkung mahupun duduk.
“Saya sedar setelah beberapa hari, air kencing saya bertukar menjadi warna coklat dan sakit pada otot makin menjadi”.
Pada malam itu juga dia segera ke Jabatan Kecemasan di Hospital Singapura untuk melakukan ujian darah dan air kencing.
Sekitar jam 2 pagi, doktor memberitahu bahawa dia telah didiagnos dengan ‘rhabdomyolysis’ – sindrom kecederaan otot secara langsung atau tidak.
Ia berlaku akibat kematian serat otot dan pembebasan kandungannya ke dalam aliran darah. Kata doktor, tahap kreatinin kinase (protein yang dikeluarkan otot) berada pada tahap bahaya.
Atrina perlu segera di masukkan ke hospital atau ginjalnya mungkin bakal gagal berfungsi seperti sediakala. Selama 4 hari Atrina di sana dan dia telah menjalani penghidratan intravena.
Dia juga diminta untuk minum banyak air. Tahap kreatin kinase Atrina akhirnya turun dan dia dibenarkan keluar hospital. Namun doktor menasihatinya agar untuk kekal hidrat.
Kata Atrina, ‘rhabdomyolysis’ mungkin terjadi pada siapa saja daripada sebarang latihan yang ekstrim, bukan hanya ‘spinning’ sahaja.
“Pastikan anda sentiasa terhidrasi setelah melakukan senaman yang kuat. Sekiranya anda menghadapi simptom yang serupa, pastikan anda segera berjumpa doktor”, akhirinya.