Ibu bapa mana yang sanggup melukakan hati anak-anak dengan mengabaikan permintaan mereka terutamanya jika permintaan itu dibuat sempena dengan hari ulang tahun kelahiran mereka. Kalau boleh, semua benda nak bagi pada anak-anak asalkan mereka gembira.
Baru-baru ini, seorang ibu menjadi bualan hangat warganet apabila dia berhempas-pulas melakukan persiapan untuk majlis hari jadi anak bongsunya yang ke-14 tahun dengan daya kreativiti tersendiri.
Dikenali sebagai Noraini Liza, ibu ini telah memuat naik beberapa gambar jeli berbentuk ikan Koi untuk diberikan kepada rakan-rakan anaknya itu.
Dalam entri yang dikongsikan di Facebook itu, Noraini menjelaskan bahawa bersempena dengan hari lahir anak lelakinya itu, anaknya memasang hajat untuk memberikan ikan kepada kawan-kawan lain. Pada ketika itulah Noraini mula terfikir untuk menyediakan jeli ikan Koi dan hasilnya benar-benar menakjubkan!
“Esok hari jadi si bongsu yang ke-14 tahun. Nak bagi ikan dekat kawan-kawan katanya. Malam ini ibu pancing siap-siap. Esok pagi boleh hantar dekat kawan-kawan”.
Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian Noraini di Facebook telah berjaya meraih 52K tanda suka dan lambakan komen yang bukan sahaja memuji kecantikan jeli ikan Koi hasil air tangan Noraini tetapi turut bangga dengan usaha serta pengorbanan ibu ini demi menjadikan hari istimewa anaknya lebih bermakna.
Memetik kenyataan Noraini kepada World of Buzz, dia menjelaskan bahawa ikan Koi tersebut diperbuat daripada puding roti di mana dia menggunakan roti putih jenama Gardenia dan juga agar-agar tali. Sementara itu, air yang kelihatan seperti kolam itu pula diperbuat daripada campuran laici serta jeli.
“Saya gemar melakukan sesuatu yang kreatif setiap kali hari jadi anak-anak. Saya tidak pernah buat kek sebelum ini”.
Difahamkan, Noraini tidak pernah menyediakan kek ketika sambutan hari jadi anak-anak. Sebaliknya, dia akan menggunakan tahap kreativiti untuk menghasilkan sesuatu yang unik dan lain daripada lain.
Antara hasil air tangan yang pernah Noraini sediakan untuk majlis hari jadi anaknya adalah seperti ‘kek onde-onde’ dan puding roti yang mempamerkan ilusi seperti kek bertemakan Barbie!