Bukan semua orang boleh bergerak maju ke hadapan seiring teknologi yang semakin canggih, lebih-lebih lagi ketika waktu pandemik begini. Kehidupan boleh menjadi lebih mudah dan tiada masalah walaupun terdapat banyak masalah, demikian menurut pandangan generasi muda.
Tetapi mungkin agak sukar buat generasi tua, bergelar golongan warga emas. Mereka mungkin mempersoalkan, generasi muda memandang telefon pintar masing-masing kerana sibuk bersosial. Apa yang mereka sosialkan, bermasyarakat? Sibuk menggunakan telefon pintar dalam segala urusan, semua tugas selesai. Apa nilai yang mereka telah dapat pada hari ini setelah selesai melakukan semua tugas mudah dengan sentuhan jari?
Seorang pengguna Facebook Julia Anne memuat naik satu kisah mengenai seorang bapa yang memberi alasan mengapa dia bersusah payah meminta anaknya menemaninya ke bank untuk menyelesaikan urusan harian. Alasan yang benar-benar membuat anak ini berfikir:
Saya menghabiskan masa berharga satu jam di bank dengan ayah, kerana dia perlu memindahkan sejumlah wang. Saya tidak dapat menahan diri dan terus bertanya …
“Ayah, mengapa kita tidak mengaktifkan perbankan internet sahaja?”
Dia bertanya, “Mengapa pula ayah kena berbuat begitu?”
“Yalah, supaya ayah tidak perlu lagi menghabiskan masa satu jam di sini untuk perkara kecil seperti memindahkan wang,” jelas saya.
“Sambil itu, ayah juga boleh cuba membeli-belah dalam talian. Semuanya akan menjadi sangat mudah!” Saya menjadi begitu teruja menjelaskan kepadanya mengenai dunia perbankan internet.
Dia bertanya, “Sekiranya ayah lakukan itu, maka tidak perlu lagilah ayah keluar dari rumah?”
“Ya! Ya! macam itu mudah!” kata saya. Saya memberitahunya bagaimana barang runcit dapat dihantar terus ke hadapan pintu sekarang dan bagaimana Amazon akan menghantar kesemuanya!
Kemudian jawapannya membuatkan saya terus terdiam.
Kata ayah, “Baiklah, sejak memasuki bank di sini hari ini, ayah telah bertemu dengan empat orang rakan, ayah telah berbual dengan kakitangan yang mengenali ayah sekarang.”
“Kamu tahu bukan ayah ini sering bersendirian dan sunyi … Mereka rakan-rakan yang ayah perlukan. Ayah menjadi seronok dapat bersiap dan datang ke bank. Ayah ada masa yang cukup, sentuhan fizikal itulah yang ayah perlukan.”
“Dua tahun yang lalu semasa ayah jatuh sakit, Pemilik kedai dari mana saya membeli buah-buahan, datang menziarah dan duduk di tepi katil ayah sambil menangis,” tambahnya.
“Ketika ibu kamu jatuh beberapa hari yang lalu semasa sedang berjalan waktu pagi, pemilik kedai runcit yang biasa kami beli telah melihatnya dan segera mendapatkan keretanya lalu bergegas menghantar ibu kamu pulang kerana dia tahu di mana ayah tinggal,” kata ayah.
Kemudian ayah bertanya, “Adakah ayah menerima ‘sentuhan manusia’ sekiranya semuanya mudah berada dalam talian?”
“Mengapa ayah mahu semua ini disampaikan kepada ayah dan kamu cadang pula untuk ayah berinteraksi hanya dengan komputer?” tanyanya lagi.
“Ayah berasa seronok dapat mengenali orang yang ayah berurusan dan bukan hanya sekadar ‘penjual’. Mereka yang hidup, mewujudkan jaringan dan ikatan perhubungan.”
“Adakah Amazon dapat menyampaikan semua ini juga kepada ayah?” tanyanya.
Kemudian saya menyedari, ayah ingin menyampaikan pesanan. “Teknologi itu bukan kehidupan.”
Luangkan masa berkomunikasi dengan orang lain dan orang tersayang, orang yang hidup. Bukan dengan gajet atau mana-mana peranti pada sepanjang masa.