Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapati bahawa harga pasaran telur jatuh antara dua hingga 11 sen.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia disebabkan oleh ketakutan pengguna untuk membeli dan memakan telur ekoran bakteria Salmonella Enteritidis (SE).
Ujar beliau, hanya dua ladang telur yang terkesan dengan bakteria itu dan kedua-duanya telah menghentikan pengeluaran sementara menunggu siasatan.
Keengganan orang ramai untuk membeli telur menurutnya akan menyebabkan harga pasaran telur menurun berbanding harga jualan yang ditetapkan.

“Ini akan memberi kelebihan kepada pengguna. Kami ingin menasihati pengguna agar tidak takut membeli telur kerana bekalannya selamat dan lebih dari cukup”, katanya.
Baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) memerintahkan empat pengimport untuk menarik balik telur dari sebuah syarikat Malaysia di Jeram, Selangor setelah didapati tercemar dengan SE.
Rosol menyifatkan kes itu terpencil dan tidak akan mengganggu bekalan tempatan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai 50 buah ladang ternakan ayam, dua di antaranya – satu di Jeram dan satu lagi di Linggi, Negeri Sembilan dikaitkan dengan kes ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna untuk memasak telur sepenuhnya dan mengelakkan memakannya secara mentah atau separuh masak.