SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun 11 bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kereta yang berkunci di sebuah tadika di Taman Ria, di sini, semalam.
Mangsa berkenaan yang diambil pada setiap pagi di rumahnya oleh pengetua tadika berkenaan dilaporkan terperangkap dalam kereta yang diletakkan di bahu jalan dengan keadaan kereta yang berkunci dan tanpa ruang pengudaraan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kereta itu dari jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.
“Kejadian itu hanya disedari pada jam 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati mangsa tiada di dalam kelas.
“Guru kelas memberitahu pengetua yang mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” kata Adzli.
Tambahnya lagi, pengetua terbabit dengan segera menghubungi ambulans dan turut melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa, tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dengan ambulans dan selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Menurut Adzli, siasatan awal mendapati bahawa pengetua tadika yang berusia 49 tahun itu telah mengambil mangsa di rumahnya di Taman Ria pada jam 7.45 pagi dan pada waktu itu, mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan berada di tempat duduk belakang bahagian kiri.
“Sebelum itu, pengetua terbabit juga turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.
“Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru kemudian mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika, manakala pengetua itu pula terus parkir keretanya di tepi luar tadika dan mematikan enjin keretanya,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Adzli turut memaklumkan bahawa mangsa telah dihantar ke tadika berkenaan untuk dijaga oleh pengasuh sejak hampir setahun yang lalu.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun itu akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada hari Ahad hingga Khamis.
“Namun, selepas PKP, hanya pada hari Selasa dan Rabu (sahaja) pengetua wanita itu akan mengambil dan menghantar mangsa, manakala hari lain mangsa dihantar sendiri oleh ibunya,” tambahnya.
Pihak polis seterusnya telah menahan pengetua wanita berkenaan untuk membantu siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.