Insiden kanak-kanak terjatuh dari bangunan tinggi pastinya satu perkara dalam mimpi ngeri yang semua orang tidak mahu berlaku.
Pada petang 28 Februari, seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikenali sebagai NPH dilihat tergantung di sisi balkoni sebuah kondominium dari tingkat 12 yang terletak di Daerah Thanh Xuan, Vietnam.
Ramai jiran dan penghuni kondominium berkenaan telah melihat kejadian itu lalu mereka mula menjerit meminta tolong.
Jeritan mereka telah mendapat perhatian seorang pekerja penghantaran barangan, Nguyen Ngoc Manh yang sedang menunggu pelanggannya di tingkat bawah kondominium.
Ketika mendengar jeritan dan melihat kanak-kanak itu sedang tergantung di hujung balkoni rumahnya, pemuda ini telah bertindak pantas menurut nalurinya dan dia mula naik ke atas bumbung logam yang berada di tingkat bawah kondominium itu.
Namun, bumbungnya sedikit licin dan Manh telah terjatuh. Pada masa yang sama, kanak-kanak yang sedang tergantung itu telah kehilangan cengkaman lalu terjatuh. Kedengaran jeritan yang kuat dari kalangan jiran-jiran yang berasa sungguh cemas dan bimbang dengan nasib anak kecil ini.
Manh melemparkan dirinya ke hadapan dan berjaya menyambut serta memegang erat kedua tangan kanak-kanak itu daripada terjatuh deras.
Pemuda ini telah berjaya melembutkan jatuhan ngeri kanak-kanak itu dengan tangannya dan dengan dia dengan pantas membawanya ke aras bawah untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
Manh berkata anak kecil itu kelihatan mempunyai darah yang keluar dari mulutnya setelah terjatuh.
Menurut VN Express, pihak hospital melaporkan tulang pinggul kanak-kanak itu telah sedikit beralih dan dia kini sedang dirawat rapi dan berada dalam pemantauan. Sementara Manh pula hanya terseliuh otot lengan dalam kejadian itu.
Nguyen Ngoc Manh pastinya seorang wira dengan tindakan pantasnya tanpa teragak-agak memikirkan diri sendiri terlebih dahulu tetapi memikirkan keselamatan anak kecil itu sehingga berjaya menyelamatkannya dan seluruh Vietnam memujinya. Keadaan Manh dan kanak-kanak itu dilaporkan beransur pulih.