Setelah dewasa, kita berasa macam tidak percaya apabila mendengar kisah benar daripada ibu bapa sendiri yang mana rakyat Malaysia boleh hidup aman harmoni dalam pelbagai kaum tanpa rasa prejudis. Jika anda hidup bercampur sejak mula tanpa berkata apa-apa pun tentang bangsa anda dengan hanya berkata kita orang Malaysia, maka anda sudah pasti boleh percaya.
Seorang netizen Dell Zhafry Fuad berkongsi kisahnya di Facebook mengenai hubungannya dengan pengasuh berketurunan India yang disayanginya bernama Kak Mala dan bagaimana mereka bertemu semula setelah 32 tahun berpisah.
Zhafry membesar di Berjuntai Tin Dredging, Selangor pada sekitar tahun 1988 bersama dua orang adik-beradiknya yang lain, dan mereka telah dijaga oleh Kak Mala yang baru berusia 14 tahun ketika itu. Kak Mala menjaga dan mengasuh mereka dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri.
Zhafry berkongsi dengan WOB sambil berkata Kak Mala terpaksa mengorbankan zaman persekolahan sendiri demi adik-adiknya. Namun begitu, Kak Mala menjaga Zhafry dan adik-adiknya dengan penuh kasih sayang sambil berulang kali berkata tulus ikhlas bahawa mereka semua seperti anak-anaknya sendiri.
Kemudian, tiba saat yang menyedihkan apabila Zhafry sekeluarga terpaksa berpindah ke Terengganu dan itulah kali terakhir mereka melihat Kak Mala.
Zhafry tidak pernah menyangka akan bertemu kembali dengan Kak Mala pada bulan November 2020 yang lalu. Sudah takdir, pertemuan itu berlaku secara tidak sengaja ketika Zhafry dan rakan zaman kanak-kanaknya kebetulan berjalan menyusuri jalan kenangan di Kem 6 Berjuntai untuk menziarahi guru Al-Quran mereka, Pak cik Khalid.
Setelah berjumpa dengan Pak cik Khalid, mereka diberitahu bahawa Kak Mala tinggal berdekatan rumahnya dan mereka telah dibawa ke sana. Tetapi ketika mereka sampai di rumah itu, Kak Mala tidak kelihatan di mana-mana.
Tetapi syukurlah adik-beradik Kak Mala masih mengingati Zhafry dan mereka bergegas memanggil Kak Mala. Mereka dengan segera meminta Zhafry dan rakannya menunggu selama 20 minit kerana Kak Mala sudah dalam perjalanan pulang.
Dalam pertemuan tidak disangka itu, Kak Mala bagai tidak dapat mempercayai apabila melihat Zhafry yang sudah dewasa di depan matanya sendiri dan sudah tentu air matanya spontan mula mengalir kerana sebak.
“Dia memegang tangan saya, memeluk dan mencium pipi saya sambil menangis. Dia berkata terima kasih Tuhan, anak saya sudah kembali,” kata Zhafry.
Kak Mala memberitahu Zhafry dalam perbualan mereka bahawa dia berkahwin pada tahun 2018 dan menjaga ibu dan saudaranya yang sakit sebelum perkahwinannya. Malangnya, ibu Kak Mala yang disayangi, yang Zhafry panggil paati atau nenek dalam bahasa Tamil, telah meninggal dunia pada tahun 2009.
Zhafry berkata perbezaan kaum antara keluarganya dan keluarga Kak Mala tidak pernah menjadi faktor untuk dipertimbang atau difikirkan sama sekali pada waktu itu.
Sebenarnya, Kak Mala menjaga mereka semasa ibu bapa mereka bekerja atau menghadiri majlis. Sekiranya ibu bapanya pulang lewat, mereka akan menghantarnya pulang. Zhafry ikhlas berkata pada masa itu, semua orang hidup dengan aman harmoni dan tiada perbezaan.
Melalui pertemuan semula itu, Zhafry berharap ini adalah permulaan hubungan jangka panjang antara keluarganya dan keluarga Kak Mala. Dan itulah yang kita semua doakan.