Tidak semua insan dilahirkan dalam keluarga yang berkemampuan. Lebih menyedihkan, masih terdapat pelajar yang mengikat perut di sekolah kerana tidak mempunyai wang.
Oleh sebab itulah, seorang guru prihatin, Adura Mohamad telah memulakan inisiatif bank makanan yang diberi nama ‘Gerobok Rezeki’ buat pelajar di SMK Kampong Pasir Putih di Lahat, Perak.
“Kami mula mengumpul dana pada bulan Januari lalu dan setakat ini, pihak sekolah berjaya mengumpul sebanyak RM5,000 daripada penyumbang”.
Tambah Adura lagi, setiap minggu mereka akan membeli bekalan makanan seperti beras, gula, sardin dalam tin, sos dan tepung yang menelan belanja antara RM350-RM400.
Kesemua bekalan itu kemudian diletakkan pada rak dan setiap pelajar yang susah boleh membawa pulang sebanyak 4 jenis item untuk dimasak oleh keluarga.
“Gerobok Rezeki ini juga dibuka 24 jam sehari, jadi sesiapa yang memerlukan bekalan makanan boleh datang bila-bila masa untuk mengambilnya”.
Idea itu bermula apabila Adura merasakan sesuatu yang tidak kena apabila sesetengah pelajarnya tidak makan ketika waktu rehat.
Apabila ditanya, pelajar tersebut menjawab bahawa mereka sudah pun kenyang kerana telah sarapan di rumah. “Tetapi sebagai guru, kita tahu benar pelajar sendiri”, tambahnya.
“Saya juga ada tanya mereka, sama ada mereka mempunyai wang untuk membeli makanan di kantin. Kebanyakan mereka hanya mendiamkan diri. Jadi saya tahu sebabnya”, kata Adura.
“Kami harap dengan adanya inisiatif sebegini, maka pelajar kami tidak akan berlapar ketika sedang belajar. Agak sukar untuk fokus di dalam kelas dalam keadaan perut kosong”.
Tambahnya, pihak sekolah juga sedang dalam perancangan untuk menubuhkan ‘bundle mini’ yang menempatkan barangan, pakaian dan kasut terpakai khas buat pelajar sekolah.
Jika ada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, sila hubungi Adura di talian 05-3225150 pada hari persekolahan.